Temgku Alias Taib Kembali Ke Sang Pencipta

CATATAN AFYASSIN

Perginya Seorang Lagi Penghuni Sastera

 

Kira-kira lapan tahun lalu, saya menulis dalam ruangan ini (ketika itu dinamakan Bicara), tentang seorang tokoh penulis yang tinggi lampai dari keluarga bangsawan. Tengku Alias Taib namanya dan orang Terengganu tetapi telah menetap di Kuala Lumpur.  Bekas guru dan giat menulis sejak tahun 1964 lagi dengan genre kegemarannya puisi. Kata pengulas sastera Tengku Alias cenderung melahirkan karya puisi yang ilustratif dan pictorial sifatnya, seakan-akan karya yang dilahirkan A. latiff Mohidin.

 

Selasa malam, saya membaca tulisan ini semula, tetapi dalam suasana yang menyebakkan. Saya membacanya setelah menziarahi jenazahnya sebaik sahaja Wahba memberitahu yang Tengku Alias meninggal dunia pukul 7.30 malam. Wahba mendapat berita duka ini dari Pyan Habib. Saya menghubungi Rahman Shaari meminta pengesahan, tetapi Rahman masih terpinga-pinga antara percaya dengan tidak. Sebabnya, baru dua hari yang lalu, Allahyarham membuat kenduri kahwin anak keduanya.

 

Beberapa minit kemudian, saya menerima panggilan Jamal Tukimin, penyair Singapura meminta pengesahan pula sama ada berita sedih itu betul atau sekadar gurauan. Katanya, “Masuri SN yang beritahu saya dan Masuri dapat tahu dari bapa saudara Tengku. Mereka sama-sama belajar di SITC dulu.” Wahba kemudian mengesahkan. Katanya S.M. Zakir dan beberapa orang kawan penulis sedang dalam perjalanan menuju ke rumah Allahyarham. Wahba, Kamaluddin Lela dan saya terus bergegas ke sana dan mendapati suasana muram menyelubungi malam kelam. Ramai penulis telah pun sampai antaranya yang jarang dapat ditemui pada hari-hari biasa.

 

Penulis-penulis ini jugalah Ahad lalu meraikan majlis perkahwinan anak Allahyarham di Dewan Serbaguna Lembah Keramat. Di majlis itu buat kali terakhir saya menemuinya. “Terima kasihlah datang. Ada juga kawan-kawan yang ingat kita,” katanya, tangannya merangkul bahu saya seperti mahu memeluk. Allahyarham berpakaian baju Melayu warna biru, masih segak dan lampai dalam usia 60 tahun enam bulan. “Silalah. Mohd Affandi Hassan dan Zubir Ali ada di dalam.”  Allahyarham mempersila kami ke dalam dewan mengiringi hingga ke meja Affandi dan Zubir.

 

“Saya nak ke Iowa minggu depan selama tiga bulan,” katanya.

“Dewan Bahasa yang taja?” Tanya saya.

“Tidak,” jawabnya spontan dan cepat. “Orang lain.”

“Kenapa tidak Dewan Bahasa?” Allahyarham tidak menjawab sambil memandang kami dengan tersenyum.

 

Sebelum meninggalkan majlis, kami bersalaman dan sekali lagi dengan muka berseri Allahyarham mengucapkan rasa terima kasih yang tak terhingga melalui genggaman erat tangannya. “Jumpa lagi,” pesannya di tangga dewan sambil menyambut pula Baha Zain dan isteri yang baru sampai.

 

Penulis Razali Yusoff, jiran terdekat Allahyarham, merupakan antara kawan rapat Allahyarham yang paling sedih malam itu. Menurut Razali. kira-kira pukul 4.30 petang dia menelefon Allahyarham membincankan tentang rancangan ke Ipoh esoknya untuk menghadiri Sayembara Puisi Nasional. Razali akan bersamanya ke sana dengan kenderaan, bukan bersama rombongan Gapena menaiki bas. Menurut Razali, Allahyarham sedikit hampa kerana Allahyarham telah mendaftar lebih awal untuk “naik bas” bersama rombongan.

 

Namun rasa hampa yang dialami Allahyarham  semacam telah menjadi sebahagian daripada perasaan hari-harinya. Beberapa orang kawan rapat Allahyarham pernah bercerita tentang   perasaan kecewanya apabila pada tahun lalu Allahyarham tidak terpilih sebagai penerima anugerah SEA Write Award di Bangkok. Namanya turut disenarai-pendekkan. Tahun ini namanya turut tersenarai di peringkat akhir pemilihan. Jika namanya naik dan Allahyarham menjadi penerima terbaru anugerah, Allahyarham tidak akan dapat hadir kerana awal-awal lagi Allahyarham telah membuat rancangan lain ke Iowa. Tidak pasti apa ada unsur kesengajaan dalam rancangannya ini. Dan ternyata Maha Suci Pencipta menentukan segala-galanya sedangkan Allahyarham hanya boleh merancang.

 

Yang mengejutkan bukan sangat kerana pemergiannya, tetapi keadaan yang membuatnya “pergi”. Allahyarham tidak sakit dan jarang sakit. Kata seorang kawan, “Petang tadi dia berada di KLCC.” Menurut sumber keluarga, Allahyarham pulang petang itu seperti biasa. Kira-kira pukul 7.30 malam Allahyarham mahu menunaikan solat maghrib di tingkat atas rumahnya. Ketika di tangga Allahyarham terasa sakit di bahagian dada dan dipapah ahli keluarga untuk berbaring di ruang tamu.  Di situ jugalah tidak lama kemudian, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.

 

Orang seperti Allahyarham memang tidak kelihatan sakit kerana hampir setiap hari Allahyarham akan melakukan kegiatan rutinnya, iaitu berjalan dari Bangunan Mara di Jalan Raja Laut ke Masjid India atau kadang-kadang ke Dewan Bahasa. Malah menurut seorang kawan lain, ada tikanya Allahyarham sengaja berjalan pulang dari Bangunan Mara. Barangkali Allahyarham menganggap kegiatan itu sebagai salah satu cara untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan. Bukan tidak mungkin di sepanjang perjalanan itu Allahyarham menghayati alam kelilingnya, hutan batu dan taman kenderaan sana-sini. Suasana itu adalah sumber inspirasi buatnya mencipta, seperti halnya Latiff Mohiddin. Maka tidak menghairankan jika Allahyarham digelar penyair ilustratif dan piktorial.

 

Namun dalam renungan tajamnya tentang sekitaran Allahyarham melukisnya secara retrospektif, menoleh ke belakang sehingga kadang-kadang mengadunnya dengan elemen sejarah dan sentimen. Dua tahun lalu, di sebuah restoran nasi kandar di Taman Melawati, Allahyarham menyerahkan sebuah puisi berjudul “retrospektif, 2001” kepada saya. Puisi itu mengandungi 47 baris dalam lima rangkap. Rangkap terakhir benar-benar mengusik perasaan apabila Allahyarham seperti meratapi kematian Sasterawan Negara Usman Awang.

 

Tulisnya: Sementara itu pada satu malam/ Langit kesusasteraan Melayu Moden/ Menangis dan meratap/ akan kehilangan sebutir suara/ Kemanusiaan yang halus/ Suara halus Melayu tulen/ Suara tulen Usman Awang/ Anak Tanjung/ Yang mengembara dengan kata-kata/ Dengan kemanusiaan tanpa sempadan.

 

Kecuali ahli-ahli keluarganya dan kawan-kawan terdekat, tidak tahulah siapa lagi yang akan meratapi atau merasakan kehilangannya yang mengejutkan ini. Tetapi seperti kata seorang teman penulis ketika menziarahi jenazah Selasa malam, “Tidak ada yang lebih mengejutkan jika ada di kalangan kita yang dapat menyelam rasa hatinya, terutama dalam setahun dua kebelakangan ini. Allahyarham pernah berkata siapalah saya dan saya tak reti nak bermuka-muka apatah lagi nak meminta-minta.”  Tidak pasti apa maksud kata-kata teman penulis itu tetapi itulah yang terpendam dalam jiwa penyair yang namanya berpenakan T. Alias Taib. Allahyarham dianggap kawan-kawan sebagai penyair kawakan, tetapi anggapan ini nyatanya belum cukup untuk diberi pengiktirafan sedemikian oleh birokrat dan institusi kesusasteraan, terutamanya.(Catatan modified 1 January 1998).

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: