Tengku Alauddin: Sepi Seorang Aktivis Seni

SEPI SEORANG AKTIVIS SENI

Oleh A.F.Yassin

Dalam perjalanan pulang ke Kuantan, setelah menonton Konsert Menjunjung Kasih di Pekan, sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah, saya dan Datuk Tengku Alaudin Tengku Majid berbual santai. Bas yang membawa rombongan Gapena dan peserta Dialog Pantai III bergerak laju di malam gelap, bagaikan mengejar waktu kerana jam telah menunjukkan waktu hampir tengah malam. Ramai peserta telah nyenyak tidur dibuai hayunan gerak bas ke kiri ke kanan. Dalam suasana beginilah Tengku Alaudin amat senang bicara.

Beberapa tahun kebelakangan ini saya melihat dia begitu aktif dalam Gapena. Tidak pernah sekali pun saya melihat dia tidak ada dalam apa sahaja kegiatan Gapena, baik di Rumah Gapena sendiri, mahu pun di tempat-tempat lain seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Melaka, Seremban dan di kali ini di Kuantan. Kadang-kadang saya naik bingung bagaimana seorang pegawai pentadbir kanan kerajaan boleh menyesuaikan dirinya dengan kegiatan-kegiatan lasak Gapena. Bukankah lebih baik dia menghabiskan waktu bermain golf atau di kelab-kelab ekseklusif pegawai-pegawai kerajaan untuk “menjaga status”?

Tengku Alaudin adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Tahun depan dia akan mencapai usia wajib bersara, iaitu 55 tahun. Mahu ke mana Tengku Alaudin setelah itu? Apakah dia akan diminta melanjutkan kerjayanya atau langsung mendapatkan status mantannya, lalu menjadi anggota baru dalam kelab tak rasmi “Senior Citizen” yang membolehkannya mendapat kemudahan perjalanan dalam negeri dengan tiket separuh harga. Yang pasti Tengku Alaudin telah berjinak-jinak dengan kegiatan Gapena sejak sekian lama. Ketika di Kuantan semasa Dialog Pantai III berlangsung, saya melihatnya begitu aktif untuk menjayakan Dialog. Walaupun dia sedikit keciwa dengan sambutan yang sedikit dingin dari penulis, namun gerak tingkahnya sepanjang dua hari itu seperti dia mahu mengubati kekeciwaannya itu.

Dia ke sana ke mari dengan lincahnya. Pada hari kedua, ketika Perbincangan Meja Bulat lima ahli panel tentang Halatuju Gapena tahun 2000, Tengku Alaudin bekerja keras mengangkat dan mengatur kerusi. Sebabnya tempat perbincangan telah dipindahkan dari auditorium Taman Budaya kepada Bilik Latihan di seberang letak kereta berhampiran dengan kafetaria. Dia bersama Yaakob Isa, Sahmad Malaya, Rahimidin dan beberapa ahli jawatankuasa DPMP bertungkus lumus menyiapkan bilik itu.

Dia bercerita panjang dalam bas. Menurutnya dia merasa sepi selama berkhidmat dalam kerajaan. Tidak ramai yang meminati bidang yang dia minati. Disebabkan minatnya yang begitu meruntun dalam bidang seni budaya maka dia tidak punya kawan yang seiiring jalan, apatah lagi untuk diajak berunding membincangkan seni dan budaya. Barangkali akibat kesepiannya itulah maka Tengku Alaudin sering menyempatkan diri hadir di Rumah Gapena setiap kali  ada kegiatan. Malah rasa sepinya ini dilahirkan ketika menutup Dialog Pantai III petang Sabtunya.

Tengku Alaudin, seorang pelukis, memberikan kebebasan kepada anak-anaknya untuk memenuhi masa lapangnya. Ternyata mereka tertarik untuk melibatkan diri dalam bidang teater. Mereka bergiat dalam bidang itu, malah mana teater yang dipersembahkan di sekitar ibukota yang mereka tidak kunjungi. Minat anak-anak Tengku Alaudin itu semacam menjadi penghibur kepadanya. “Kadang-kadang saya tidak terfikir mereka begitu matang bercakap tentang teater, pada hal mereka hanya anak muda,” kata Tengku Alaudin.

Ramai yang menilai ada sesuatu dalam diri Tengku Alaudin yang menyebabkan penulis dan penggita budaya terasa mesra apabila bersamanya. Apakah kesungguhnanya dalam memupuk seni budaya bangasa melalui jawatannya di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan atau tutur bicaranya tentang seni budaya yang mempunyai  “wave-length” yang setara dengan penulis dan penggiat seni yang bernaung di bawah badan-badan penulis baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat nasional. Seorang budayawan senior pernah menyamakan Tengku Alaudin dari segi kegiatannya dengan Tan Sri Ismail Hussein sendiri. “Lihat sahaja bidang mereka dalam seni budaya. Ismail bidangnya bahasa manakala Tengku Alaudin seni lukis. Dan lihat sahaja seorang yang mempunyai pangkat tinggi dalam kerajaan sanggup mengatur kerusi dan meja hanya semata-mata untuk menjayakan sesuatu acara,” kata budayawan itu.

Ada pula yang melihat wujudnya “Ismail Hussein” dalam diri Tengku Alaudin. Maksudnya, penampilan dan kepimpinan kedua-dua tokoh ini, terutama dalam berpersatuan dan kerja-kerja sukarela. Ismail Hussein telah ditahan uji kepimpinannya dalam Gapena, malah Gapena itu sendiri sudah sinonim dengan namanya. Walaupun kepimpinannya pernah dicabar dan digugat pada satu ketika tetapi karisme dan keikhlasan Ismail menjadikan kedudukannya dalam Gapena tidak tergoyahkan. Sesetengah pemerhati berpendapat Ismail Hussein tidak dapat dipisahkan kecuali hukum Qada’ dan Qadar. Dan pada yang sama Tengku Alaudin dipandang sebagai tokoh yang dapat meneruskan kepemimpinan Ismail Hussein dalam badan induk  itu. Setidak-tidaknya ada seorang dua dalam jawatankuasa Pusat Gapena mahu Tengku Alaudin dipersiapkan sebagai pemimpin pelapis selepas Ismail Hussein.

Saya cuba mendapatkan reaksinya tentang kemungkinannya dipersiapkan untuk tugas berat yang dipikul Ismail sekarang,  Tengku Alaudin tidak begitu responsif, tetapi saya seperti merasakan bahawa dia adalah salah seorang yang paling sesuai untuk memikul beban tugas dalam Gapena. Saya katakan kepadanya bahawa gandingannya bersama Zainal Borhan dan Hamzah Hamdani akan membawa Gapena ke suatu hala yang terarah seperti yang telah ditunjukkan Ismail Hussein dulu dan sekarang. Pengalaman mentadbir dan mengurus  dalam kerajaan adalah aset yang penting seperti halnya Ismail Hussein ketika bertugas dri Universiti Malaya dahulu.

Ketokohan Tengku Alaudin dalam kerajaan tidak siapa boleh pertikaikan. Yang diperlukan ialah mengimbangi ketokohannya itu dalam dunia persuratan dan seni budaya di dalam dan luar negeri. Jejak-jejak langkah Ismail Hussein mendekatkan Melayu diaspora sehingga bangsa yang terpencar-pencar di seluruh dunia itu menganggap Kuala Lumpur sebagai ibukota budaya mereka, perlu “dihidu” Tengku Alaudin sebagai langkah awal menebarkan jala pengaruhnya di luar negara. Sebaiknya mulai sekarang Tengku Alaudin diberi kesempatan untuk bersama-sama Ismail Hussein “meredah belantara budaya Melayu di luar Malaysia” agar dia sedikit demi sedikit mendapatkan momentum yang diperlukan.

Kurang pasti apakah idea cuba mengenengahkan pemimpin pelapis dalam Gapena pada waktu ini meruapakan satu langkah positif, terutama ketika Gapena sedang merancang kegiatan untuk menyambut Ulang Tahun ke-30 penubuhannya tahun 2000 nanti? Cuma satu hal jelas bahawa Gapena sebagai badan induk kepada 23 badan gabungannya telah sepatutnya mula mencari dan mempersiapkan pemimpin pelapisnya menuju alaf baru. Adalah tidak wajar keadaan kepemimpinan dibiarkan berada dalam kekosongan sedangkan Gapena harus terus menonjol sebagai satu-satunya pertubuhan NGO yang mewakili kaum budayawan dan seniman di peringkat nasional. Dua tiga biji bintang yang mula bergemerlapan di alam cekrawala seni budaya kita hari ini sudah sepatutnya diberikan perhatian. Salah satu daripadanya ialah Tengku Alaudin Tengku Majid, yang banyak berjasa meningkatkan  dan menghidupkan seni budaya kebangsaan di peringkat kementerian. Tidak siapa yang berani menolak kemungkinan Akademi Seni Kebangsaan yang semakin popular di kalangan seniman muda  untuk menimba ilmu merupakan salah satu kegiatan kementerian yang Tengku Alaudin sendiri menjadi “tangan pentingnya”.

Bas yang membawa kami pulang ke Kuantan dari Pekan berhenti di Hotel Vistana kurang lebih pukul 12.45 tengah malam. Saya mengucapkan selamat malam kepadanya sebelum meneruskan perjalanan menuju d’ Village, hotel penginapan saya kira-kira 13 kilometer ke utara. Dalam perjalanan menuju hotel, saya membayangkan keadaan Tengku Alaudin yang tidak akan sepi lagi setalah dia berusia 55 tahun di permulaan alaf baru tahun 2000. Pada usia bersaranya dia akan mula sibuk mengatur rutin hidupnya bersama para seniman dan budayawan tanah air, jauh dari kesibukan dan kerenah pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

5 November 1999

 


3 Responses “Tengku Alauddin: Sepi Seorang Aktivis Seni” →
  1. I am just starting my web site. I published my site about a week ago but it does not show in google search. I have typed content of the site exactly in search box with quotes around but google does not find it. I don’t know if my site never listed or just dissapeared even before I found it.

    Reply
  2. I think your Blog is a best informative one. I will come back again.

    Reply
  3. Thanks so much for submitting this. Brief enquiry, if you wouldn’t mind. Where did you get your page design? I’m creating a blogging site and value your site.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: