A.F.Yassin: Hutan Batu di Pulau Temasek

HUTAN BATU DI PULAU TEMASIK

16 Jun 2002

Perantara Jejak Bahasa adi Singapura, sasterawan-wartawan Jamal Tukimin tidak pernah mungkir dengan waktu. Setiap pagi, sebelum pukul sepuluh Jamal siap menunggu kru Jejak Bahasa di ruang lobi sebuah hotel taraf sederhana di Geylang Serai. Disa membawa bersama tas tangannya, sebuah beg seminar, terbaru diperolehnya hasil menghadiri Pertemuan Sasterawan di Bangkok, Chiangmei dan Haatyai baru-baru ini. Cuma di dalam beg itu kertas kerja seminar diganti dengan jadual penggambaran Jejak Bahasa selama empat hari di pulau republik itu.

Kru Jejak Bahasa yang diketuai Othman Ismail dengan sutradara Hisham Abdullah terhutang budi dengannya. Betapa tidak! Tanpa Jamal barangkali jadual penggambaran yang bermula 9 Jun akan terjejas teruk. Sebabnya, sehingga 7 Jun  usaha mendapatkan pas profesional (surat izin membuat penggambaran) daripada Kementerian Penerangan, Teknologi dan Seni Singapura masih buntu kerana wujud jurang komunikasi. Pada pagi 7 Jun itu Jamal masih lagi mengadakan hubungan langsung dengan Puan Noraini dari pejabat Setiausaha Parlimen Kementerian. Jamal berulang alik dari Singapura ke Johor Bahru sejak beberapa hari sebelumnya untuk cuba melicinkan usaha mendapatkan surat izin itu.

Business Senter hotel Pan Pacific Johor Bahru berubah menjadi pejabat sementara Kru Jejak Bahasa untuk  menyiapkan segala dokumen yang diperlu difakskan ke Kementerian pagi itu juga. Menurut Noraini, pihak Kementeriannya telah menunggu hampir seminggu untuk mendapatkan dokumen berkaitan melalui surat jawapan yang dikirimkan pada 30 Mei lalu. Soalnya, pada hari itu kru Jejak Bahasa telah memulakan penggambaran untuk zon selatan di Seremban. Sehingga dengan demikian Othman tidak menerima jawapan berkenaan yang dihantar terus ke Dewan Bahasa.

Apapun jua, Jamal menjadi penyelamat kerana pada petang Sabtu  8 Jun dia menerima mesej dari Noraini bahawa pas profesional untuk kru telah dikeluarkan dan Jejak Bahasa boleh meneruskan penggamnaran di Singpaura sehingga 13 Jun. Maka bermulalah penyelusuran jalan-jalan silam ketika Singapura menjadi pusat senibudaya  Melayu di dekad-dekad 40an, 50a dan 60an. Bagi Jejak Bahasa Singapura tidak dapat dipisahkan daripada siri keduanya. Sekurang-kurangnya enam episod untuk musim kedua tahun ini berhubung kait dengan Singapura bersama khazanah seninya. Episod-episod itu ialah Di Manakan Kucari Ganti: Pengisahan P. Ramlee, Mencetak Bahasa, Munsyi Abdullah, Bahasa Dalam Seni Persembahan, Pendeta Zaaba, dan Perjalanan Bahasa Sasterawan serta Proses Penciptaan.

Malah di Singapura;ah bermula segala-galanya tentang senibudaya Melayu dengan dekad 50an dan 60an sebagai lambang era jayanya. Seniman P. Ramlee mencipta nama di Singapura melalui seni perfileman. Selain dia, ada pula seniman seniwati seperti S. Samsuddin, Aziz Satar, Zaiton, Saadiah, Momok Latiff .  Arif Ahmad, Jymmy Asnara, Keris Mas, Asraf serta Masuri SN pula merupakan sasterawan yang menginstitusikan Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50) dan memperjuangkan  “Seni Untuk Masyarakat”. Zubir Said, Ahmad Jaafar serta Kassim Masdor antara tokoh seni yang turut mencipta nama di Singapura dalam seni muzik. Zaaba yang pindah ke Singapura meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa, setelah melepaskan jawsatannya di SITC, Tanjung Malim. Ada pula Ungku Aziz yang menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka  yang pertama. Sebelumnya Ungku Aziz seorang tenaga akademik di Universiti Malaya, Singapura.

Munsyi Abdullah yang sedang dipersoalkan jolokannya sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu moden turut mencipta nama di Singapura ketika Raffles melantiknya sebagai munsyi (guru) untuk diri dan isterinya. Bagusnya Munsyi ini ialah dia tidak terpengaruh dengan dakyah paderi Keristian yang cuba menarik Abdullah masuk Kertistian. Walaupun Abdullah sering mengata-mengata orang Melayu dan keadaannya melalui Hikayat Pelayaran Abdullah, namun dia tetap berpegang teguh kepada warisan bangsanya dan tetap bersama Islam hidup dan matinya.

Penggambaran Jejak Bahasa di pulau itu tidak cukup setakat empat hari. Oleh kerana tempoh itu yang diberikan maka sutradara Hisham terpaksa bertindak selektif, memilih yang terpenting. Maka yang dirakamkan hanyalah genre yang bersifat finominal yang berwakilkan ketokohan. Hisham memilih teater, sastera, muzik, filem dan kritikan. Misalnya, Hisham cuba meninjau ke dalam diri pengarah muda dari Teater Kami Ltd, Atin Ahmad yang pernah mementaskan “Munsyi Abdullah” pada tahun 1998. Hisham juga menerokai pengalaman lampau Arif Ahmad yang bersama-sama teman sasterawan menubuhkan ASAS ’50. Manakala di Jalan Ampas penolong sutradara Wan Farid berusaha merakamkan jejak-jejak pengalaman bintang-bintang filem tersohor tahun 1950an dengan jejak-jejak kesenimanan P. Ramlee sebagai tunjangnya.

Ketika Hisham membuat penggambaran temubual dengan Nongchik Ghani, salah seorang pengasas Kumpulan Teater Sriwana di pejabatnya di Kg. Wan Cantuk, Kampung Gelam, saya dan Jamal menunggu dan bersembang di sebuah kedai kopi. Tiba-tiba berhenti sebuah kereta. Jamal mempelawa pemandunya minum. Jamal memperkenalkan lelaki itu kepda saya. Arsyad Dahari namanya, adik kepada penyanyi Kartina Dahari tetapi berlainan ibu.  Cerita punya cerita diketahuilah bahawa Arsyad pernah menjadi penari dalam Syarikat Tarian Kebangsaan yang pernah menjelajah ke banyak negara dalam tahun 1970an dahulu.

Ada satu episod menarik tentang P. Ramlee yang diceritakan kepada kami pagi itu. Sewaktu mengadakan persembahan di sebuah teater terkemuka di Moskow, Russian tiba-tiba lampu dewan digelapkan dan “kami terpaksa berhenti menari.” Kata Arshad  setelah seminit kemudian dewan terang semula. Kami diberitahu bahawa persembahan terpaksa dihentikan dan lampu dipadamkan kerana menghormati P. Ramlee yang baru meninggal dunia. Berita tragis P.Ramlee itu baru sahaja diterima melalui telefon. Antara yang turut memberi hormat di dewan itu ialah Perdana Menteri USSR ketika itu, Alexy Kosigin yang turut hadir sebagai tetamu kehormat.

“Saya tak sangka P.Ramlee turut dihormati di Russia,” kata Arsyad.

Jurai keturunan Arsyad menarik. Malah lebih menarik jika dua genre – perfileman dan seni suara – dikaitkan. Arsyad ialah anak kepada Dahari yang beristerikan Salbiah Haron, penyanyi yang terkenal dengan lagu “Putih Kuning” dan “Janganlah Tenung-Tenung Bang”. Salbiah pula adalah ibu tiri kepada Kartina Dahari. Ibu Kartina bernama Mak Uda. Sementara itu Salbiah dan seniman Kadarisman adalah adik-beradik. Kadarisman ini pula berkahwin dengan Fatimah, anak Khairuddin yang memimpin Kumpulan Tijak Din Bangsawan di Singapura. Kumpulan ini amat terkenal dengan siri Bangsawan Di Udara persembahan Radio Malaya, di Singapura pada tahun-tahun 1950an dan 1960an. Yang mengikuti rancangan ini setiap minggu mungkin tidak dapat melupakan dua watak protagonis Riffin dan antagonis Ahmad Sabri. Salbiah berada di Kuala Lumpur dan Arsyad kini anggota The Rythm Boys sebagai pemain gitar irama. Antara penyanyi kumpulan ini ialah M. Ishak dan A. Ramlan, adik A. Ramlee. Antara lahu popular yang pernah dicipta Arshad ialah “Kau Harapanku”dendangan A. Ramlee.

Demikianlah, Arsyad pagi itu telah menemukan kami dengan jalan kenangan tokoh-tokoh penting senibudaya Melayu yang berada du mercu kegemilangannya. Filem dan lagu teradun dalam sikapserba boleh penghuni dan tokohnya. Malah tanpa ketokohan dalam bidang seni muzik umpamanya bidang perfileman akan menjadi cacat. Seperti kata Kassim Masdor ketika merakamkan pandangannya di pejabat Yusnor Ef di kompleks pertokohan Metropolitan, “Diperlukan satu tim untuk mencipta ketokohan. P. Ramlee, misalnya mempunyai kawan-kawan dari pelbagai bidang untuk menjadikan filemnya disukai ramai. Ada Ahmad Jaafar sebagai komposer, ada Sudharmaji  sebagai penulis lirik, dan juga saya sendiri. Malah saya banyak belajar daripadanya.”

Dalam bidang persuratan pula Masuri dan Arif bercerita panjang tentang penubuhan ASAS 50. Kata Arif, dia sendiri tidak mengetahui bila dan bagaimana nama ASAS 50 itu boleh timbul. Yang dia tahu ialah Angkasa 50, singkatan  Angkatan Sasterawan tahun 50an. Bagaimanapun Arif tidak setuju jika ada yang menganggap “Bahasa Jiwa Bangsa”itu sebagai perbilangan. Bahasa Jiwa Bangsa yang pertama kali disebut Ariff ketika memperjuangkan bahasa dan sastera tahun 50an dahulu akhirnya kini diterima Dewan Bahasa sebagai cogan katanya. Kata Ariff sebelum Bahawa Jiwa Bangsa “Kita sering memperkatakan bahasa menunjukkan bangsa.”

Mesej yang dapat kami garap daripada perbualan dengan Ariff Ahmad pagi itu ialah bahawa telah ada kesungguhan untuk orang Melayu Singapura hari ini mencari sesuatu daripada sejararah kegemilangan silam untuk mengekalkan jadi diri Melayu di Singapura. Bagaikan apa yang sedang berlaku kepada orang Melayu hari ini adalah persis seperti apa yang berlaku kepada orang Cina di Malaya pada tahun-tahiun awal kemerdekaan. Orang Melayu Singapura merupakan kelompok minoriti dan dengan sendirinya survival atau kelangsungan hidup menjadi perjuangan utamanya. Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu, Singapura yang dipimpin bekas Ahli Parlimen, Zulkifli Mohammad kini menaungi hampir 40 pertubuhan Melayu. Dan bukan tidak mungkin Majlis Pusat menjadikan era kegemilangan silam Melayu Singapura dalam pelbagai bidang seni budaya sebagai sumber inspirasi demi kelangsungan hidup insan bernama Melayu di hutan kota Temasik hari ini. –  Geylang Serai, Singapura.

3 Responses “A.F.Yassin: Hutan Batu di Pulau Temasek” →
  1. My wife and I were really informed after studying your website in order to give a teaching on :”soaring high as Eagle” in a church. Thank you.

    Reply
  2. Thanks. Using wordpress now and this has helped alot!

    Reply
  3. This actually answered my drawback, thanks!

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: