Hubungan Budaya Makassar Kuala Lumpur

HUBUNGAN PERSURATAN MELAYU-MAKASAR

Oleh A.F.Yassin   

 

Safrullah Sanre, anak Makasar dan seorang aktivis sastera-budaya di bumi  Sulawesi Selatan. Ketika mengunjungi Kuala Lumpur baru-baru ini Safrullah mencadangkan agar diadakan pertemuan Johor-Makasar dalam bidang persuratan dan kebudayaan. Katanya, “Pertemuan seumpama ini perlu untuk menjajaki kemungkinan mempereratkan semula hubungan yang dahulunya dirintis empat putera raja dari Bugis.” Yang celik sejarah akan faham siapa putera raja yang dimaksudkan. Mereka Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Kesemuanya putera raja Upu Tenderi Burung, Raja Negeri Luwok di Tanah Bugis. Mereka berperanan dalam peperangan antara Raja Kechil yang ingin merampas takhta Kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

 

Safrullah melihat Johor sebagai landasan pertemuan kerana di Johor jugalah bermulanya peranaan orang Bugis. Jika dahulu orang Bugis membantu dalam usaha menyelesaikan rebutan kuasa antara putera raja Melayu, tapi kalu ini biarlah hubungan itu hanya dalam usaha meningkatkan tali persuratan dan kebudayaan. Kerana menurut Safrullah, tidak ada sebab mengapa antara kedua-dua bangsa Melayu dan Makasar, khasnya Bugis tidak dapat meneruskan silaturrahim yang hampir terputus oleh perjalanan sejarah dan zamannya.

 

Safrullah sendiri hampir terpinggir akibat daerah kediamannya “sedikit terpencil” dari daerah sentral Jakarta atau Kuala Lumpur. Safrullah enggan “memencilkan dirinya.” Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah dua kali Safrullah mengunjungi Malaysia dan menurut mesej yang diterima melalui e-mel baru-baru ini Safrullah akan ke Brunei mengikuti Pertemuan Sasterawan Nusantara dan seterusnya ke Kuching untuk menghadiri Hari Sastera yang akan dirayakan di pantai peranginan Sentubung. Mac lalu dia menampakkan muka di Seminar sehari sempena Persidangan Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Antarabangsa (MASTERA), di Johor Bahru. Sebulan yang lalu dia di Kuala Lumpur beberapa hari menginap di “asrama” Gapena untuk mengadakan penelitian dan kegiatan pribadinya.

 

Kami bertemu di Makasar Januari lalu. Dia bercerita tentang sastera, bahasa dan budaya. Safrullah seperti membenarkan dirinya diseret lebih dalam ke daerah sastera Malaysia dan lebih mendekatkan diri dengan Kuala Lumpur berbanding Jakarta. Mungkin tanggapan ini   kurang tepat tetapi yang telah mengenal dirinya akan berpersepsi begitu. Saya katakan demikian kerana usahanya menjejak tempat pemukiman sementara rombongan “Jejak Bahasa” yang sedang membuat penggambaran untuk program “Jejak Bahasa” TV3-DBP di tanah Bugis itu.

 

Safrullah seperti mahu melihat hubungan intim antara  Makasar dengan  dengan Malaysia, khususnya Johor. Katanya ada kaitan antara orang Makasar dengan orang Johor dan kaitan itu telah lama wujud, iaitu sejak pemerintahan Kerajaan Johor Riau lagi. Katanya “Malah kita usah lupa akan peranan empat anak raja keturunan Bugis dalam Kerajaan Melayu Riau Johor.” Raja Muda Riau diwarisi keturunan anak raja Bugis. Raja haji dan Raja Ali Haji siapa tak kenal.

 

Safrullah boleh diibaratkan sebagai penjihad sastera-budaya Melayu-Bugis dan mahu manfaatkannya dalam meingkatkan hubungan sastera-budaya Malaysia Makasar. Sikap jernihnya yang ingin melihat bertautnya kembali hubungan Melayu-Makasar yang diasaskan kepada sejarah penglibatan orang Bugis dalam Kerajaan Melayu Johor-Riau.

 

Tambah Safrullah, penglibatan orang Bugis di alam Melayu dipertingkat oleh penghijrahan orang Melayu Johor ke tanah Bugis di Pulau Sulawesi, terutama di Makasar (dulunya Ujung Pandang). Orang Melayu Johor ini membawa bersamanya apa yang disebut Safrullah sebagai warisan sastera, bahasa dan budaya. Katanya, “Warisan itu kini sudah menjadi intertekstual kerana kebanyakan teks sastera Melayu sudah disadur ke dalam bahasa daerah.”

 

Ada satu komuniti Melayu berkampung di tengah-tengah kota Makasar. Dalam pertemuan singkat dengan warga Makasar keturunan Melayu, kami  anggota rombongan Jejak Bahasa mendapat maklumat tidak ternilai tentang sejarah penghijrahan komuniti ini. Sekarang pun anggota komuniti Melayu ini masih merasa bangga dengan keturunan mereka. Ramai di kalangan mereka masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dialek Johor dengan baik. Di samping itu mereka tetap mempertahankan warisan budaya seperti nikah kahwin dan adat orang Melayu lainnya sejak kedatangan datuk nenek mereka dua ratus tahun dahulu.

 

Malah ada di kalangan mereka yang mengaku dari keturunan orang Melaka. Kata seorang ketua keluarga Melayu itu,  Walaupun belkum pernah ke Melaka tapi kami rasa begitu dekat apabila menyebut Melaka kerana “nenek moyang kami bercerita kami orang Melaka.” Barangkali cerita dari Melaka ini dikaitkan dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis dan penerusan Kerajaan Melayu itu di Johor Riau kemudiannya.

 

Ini menjadi premis keazaman dan rasa keterikatan Safrullah dengan pemikiran sastera warisan Melayu Bugis. Bukan tidak mungkin Safrullah terpengaruh dengan kewujudan komuniti Melayu di Kota Makasar dan kitab sejarah orang Melayu, terutama “Salsilah Melayu dan Bugis”, “Sejarah Johor” dan “Sejarah Melayu”. Maka semangat ingin melihat bermulanya pertemuan Johor Makasar itu semakin membara. Lebih kerap dia mengunjungi Malaysia maka akan semakin meningkat pula suhu semangatnya.

 

Apakah yang sedang difikirkan Safrullah? Apakah dia mahu mengambil kesempatan dengan mengeksplorasi setiap peluang akibat wujudnya pertemuan itu untuk motif peribadinya. Jelas ramai sasterawan dan budayawan, malah orang biasa akan mempersoalkan keghairahan Safrullah mahukan pertemuan seumpama itu diadakan. Sementelah pula dia memperjuangkannya hampir bersendirian. Dan dia menambah “Dicadangkan pertemuan dimulakan di Makasar. Tahun berikutnya di Johor Bahru. Pertemuan boleh setiap tahun secara bergilir.”

 

Turut difikirkan Safrullah tentunya perkara adan isu yang bersangkut paut pula dengan sikap  pemerintah Indonesia, terutama pemerintah daerah Sulawesi Selatan yang menurutnya  “meletakkan bidang kebudayaan dalam senarai keutamaan yang rendah. Tidak seperti di Johor yang menjadikan pembangunan kebudayaan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab holistik kerajaannya.” Kata Safrullah, aktivis budaya rantau Malaysia mendapat kerjasama erat dari kerajaan.

 

Namun Safrullah sesikit kurang senang dengan cara berfikir kebanyakan penulis dan editor Malaysia, yang mahu media tempatan tidak lagi menyiarkan karya penulis Indonesia. Safrullah faham benar mengapa penulis dan editor Malaysia bersikap begitu. Kecuali majalah “Sanggang” yang diterbitkan oleh Riau Pos di Pekan Baru dan sesekali majalah “Horison” yang diterbitkan di Jakarta, tidak ada majalah atau suratkhabar mingguan di republik tetangga itu yang mahu menyiarkan karya penulis Malaysia. Khabarnya majalah “Dewan Sastera” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil sikap tidak akan “melayan lagi karya penulis Indonesia.”

 

Maka jihad sastera-budaya Safrullah semakin melalui jalan sukar jua. Cadangannya untuk mengadakan pertemuan tahunan Johor Makasar mungkin sahaja akan tinggal cadangan. Dimatikan sebelum lahir. Pilihan Safrullah yang masih ada ialah dengan mendekati Yayasan Warisan Johor, dianggap lengan budaya kerajaan negeri. Timbalan pengarahnya Yayasan,  Zam Ismail, seorang sasterawan-budayawan, walaupun khabarnya dari kerutunan Jawa, barangkali akan bersimpati dengan pemikiran Safrullah. Fakta menunjukkan banyak rakyat Johor, baik daripada kalangan bangsawan mahupun di kalangan orang biasa, berketurunan Bugis. Zam tidak boleh nafikan,  dan begitu juga halnya dengan sejarah intim Johor dan Bugis, Zam lagi tidak boleh nafikan.

 

Safrullah khabarnya mempunyai manuskrip lama yang perlu diketengahkan, mengaitkan hubungan Johor Bugis. Ini boleh dijadikan titik permulaan hubungan Safrullah dengan Zam di Yayasan. Kalau Johor boleh mengadakan pertemuan sasterawan nusantara dua tahun lalu, boleh mengadakan persembahan dan peraduan zapin yang melibatkan kumpulan dari daerah Nusantara, maka tidak ada sebab Johor tidak boleh memberikan pertimbangan kepada cadangan Safrullah. Gapena melalui Setiausaha  Duanya, Prof. Madya Zainal Borhan boleh sahaja menjadi promoter untuk menggerakkan pertemuan demikian. Dasar pembangunan holistik kerajaan Johor di bawah pimpinan mantan ahli akademik, Datuk Haji Abdul Ghani Othman boleh menjadi pemangkin untuk mengadakan pertemuan Johor Makasar.

 

Manfaat daripada pertemuan tetap ada. Ini kata Safrullah. Khazanah warisan dalam bentuk intertekstual maih banyak yang boleh diketengahkan. Status autonomi pemerintah daerah di Indonesia boleh dimanfaatkan untuk memajukan bidang sastera budaya. Kerana jelas yang berkaitan dengan kebudayaan telah diletakkan di bawah wewenang dan kuasa propinsi. Kata seorang budayawan ketika ditemui selepas majlis dialog antara budayawan Makasar dengan rombongan Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Bahasa Cabang Maksar Januari lalu, “Orang Melayu dan orang Makasar itu tidak ada bedanya dari sudut sejarah dan budaya. Kiranya kami lebih dekat dengan Malaysia, terutama yang menyangkut keturunan, perasaan dan pemikiran. Tak perlulah kami beritahukan berbanding dengan siapa.”

 

Kalau Safrullah jadi ke Brunei dan Sarawak hujung minggu ini untuk meghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara dan Hari Sastera, ada juga baiknya Safrullah “merisik-risik” dengan Zainal Borhan, salah seorang tokoh penting Gapena, atau Tan Sri Ismail Hussein sendiri sebagai Ketua Satu meminta jasa baik pertubuhan penulis itu menjadi promoter pertemuan Johor Makasar. Tetapi kalau ada wakil Yayasan Warisan Johor yang hadir, terutama Zam, Safrullah boleh langsung sahaja berbincang dengannya. Paling-paling Safrullah akan dianggap printis hubungan persuratan dan budaya, berbanding anak raja Upu Tenderi Burung yang merintis hubungan politik satu ketika dahulu. Catatan modified on 25 August 2001)-

 

    

 

 

 

 

 

 

One Response “Hubungan Budaya Makassar Kuala Lumpur” →
  1. Awesome article! You should consist of a number of interpersonal switches on the page so we could reveal your current goods on-line. I usually talk about resume writing tips in making a resume and also I’ve seen a lot of accomplishment from introducing interpersonal switches in order to my weblog.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: