Kerjasama Penerbitan DBP Balai Pustaka Jakarta

KERJASAMA PENERBITAN DBP DAN BALAI PUSTAKA

 

Haji Aziz Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghabiskan hampir setengah jam di Toko Buku Balai Pustaka, Jakarta yang terletak di Tingkat Bawah bangunan Balai Pustaka pada pagi Rabu, 7 Februari lalu. Aziz seperti lebah mencari manisan bunga, hinggap dari kuntum ke kuntum. Bagi Aziz, buku menjadi sebahagian daripada kehidupannya, bukan kerana beliau ketua pengarah DBP tetapi minatnya sebagai pengarang dan budayawan. Lebih jauh, Aziz tidak cuma melihat buku dari sudut tekstual, tetapi melihatnya sebagai suatu hasil pembuatan, menilainya dari sudut kualiti.

 

Aziz menilai buku terbitan Balai Pustaka jauh lebih tinggi mutunya berbanding yang telah diterbitkan pada dekad-dekad yang lalu, iaitu sejak tertubuhnya Balai Pustaka pada 14 September 1908 dengan nama Commissie voor Inlandsche School en  Volklectuur. Kualiti pra-percetakan, percetakan dan penjilidannya  sudah bagus. Ini boleh dilihat dari penerbitan beberapa buah buku yang relatif tebal, seperti Leksikon Susastra Indonesia, susunan Korrie Layun Rampan (2000), Panorama Sastra Nusantara (1997) dan  Antologi Puisi Wanita Penyair Indonesia, juga susunan Korrie Layun Rampan (1997).

 

Daripada banyaknya judul yang terdapat di toko buku itu, Aziz seperti menilai bahawa Balai Pustaka (nama ini mula digunakan pada 22 September 1917)  telah meningkatkan kegiatan penerbitannya. Malah fungsi Balai Pustaka telah dilipatgandakan untuk meliputi penerbitan buku sekolah dan pengajian tinggi. Sama halnya dengan fungsi DBP. Bagaimanapun, Balai Pustaka lebih ke depan dari sudut pengurusannya apabila ia diswastakan sepenuhnya menjadi sebuah syarikat sendirian berhad, setelah berstatus perusahaan awam sejak  28 Disember 1985.

 

Demikianlah, pada pagi itu rombongan empat anggota Ketua Pengarah DBP mengunjungi Balai Pustaka di Jalan Gunung Sahari Raya, Jakarta untuk meneroka semula hubungan kerjasama penerbitan buku. Tiga anggota lain ialah Rohani Rustam, Pengarah Penerbitan, Aizam Hj Ali, Ketua Bahagian Dokumentasi Melayu dan Bibi Haeton Ghulam Hassan, pegawai tabdir. Baik Aziz mahupun R. Siswadi, Presiden-Direktor Balai Pustaka menyifatkan kunjungan rombongan DBP itu sebagai langkah awal melaksanakan isi perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani pada 21 Ogos 1995 dahulu. Aziz berharap kerjasama penerbitan dengan Balai Pustaka pagi itu didasarkan kepada  konsep kerjasama MABBIM dan MASTERA. “Kita sudah ada kerjasama dengan Indonesia dan Brunei dalam bidang bahasa dan sastera, maka sekarang kita tingkatkan lagi kerjasama itu dalam bidang penerbitan buku,” jelas Aziz.

 

Menurut Aziz, kerjasama penerbitan ini akan mencakupi penyelidikan dan penerbitan karya-karya mengenai tamadun berbahasa Melayu. DBP akan membantu Balai Pustaka mencetak, menerbitkan dan memasarkan karya-karya yang dipersetujui bersama, baik yang berupa karya asli, adaptasi mahupun terjemahan sesuai untuk pasaran tempat dan antarabangsa. Hal ini bertepatan dengan Fasal 1 Memorandum Persefahaman.

 

Sebagai langkah perintis, Aziz telah berbincang dengan Hassan Alwi dari Pusat Bahasa Jakarta untuk merangka satu kerangka pemilihan karya novel Indonesia yang dihasilkan dalam abad ke-20. Barangkali Balai Pustaka dapat menyelaraskan pemilihan karya demikian dengan penyair Taufik Ismail, perunding penerbitan Balai Pustaka akan diberi peranan penting dalam pemilihan. Taufik turut sama dalam perbincangan pagi itu. Siswadi berharap karya-karya pengarang besar seperti Hamka, Pramodya Anata Toer dan Marah Rosli, misalnya akan termasuk dalam senarai pilihan.

 

Dan bukan tidak mungkin karya-kara seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Der Vinjck, Salah Asuhan dan Keluarga Gerilya, yang begitu popular di Malaysia suatu ketika dahulu akan menyumbang ke arah memenuhi hasrat yang terkandung dalam semangat persefahaman itu. Apapun jua senarai akhir novel-novel Indonesia abad ke-20 yang bakal diterbitkan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kedua jawantakuasa ini yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada akhir Februari ini. Taufik sendiri menilai bahawa “kerjasama ini patut disokong dan saya menganggap ini pertemuan pertama sebagai tindak lanjut MOU tempoh hari.”

 

Dalam pada itu DBP dan Balai Pustaka bersetuju mesyuarat jawatankuasa Majlis Penerbitan Bersama ini akan diadakan setahun sekali secara bergilir antara Jakarta dan Kuala Lumpur. Kata Aziz, “Mesyuarat diadakan untuk melihat perkembangan kerjasama ini.” Tidak pula mustahil jika kerjasama penerbitan ini  akan dilembagakan seperti halnya MABBIM dan MASTERA. Lembaga demikian boleh sahaja  dinamakan Majlis Penerbitan Bersama Indonesia-Malaysia atau ringkasnya MAPIM. Secara tak langsung MAPIM akan melengkapkan kerjasama kebudyaan dalam bidang persuratan yang merangkum bahasa, sastera dan penerbitan.

 

MABBIM telah berjalan baik. MASTERA mengekori di belakangnya, juga sedang dalam pembenahan yang semakin mantap. Bagaimana dengan majlis bersama yang baru dalam bidang penerbitan ini? Pengalaman pahit mewujudkan galeri buku DBP di Jakarta sedikit masa lalu masih menghantui hubungan kerjasama ini. Galeri buku Malaysia yang terletak di Jalan Kwitang tidak dapat beroperasi lama dan terpaksa ditutup. Kurang jelas mengapa terjadi demikian.

 

Kemudian ada pula masalah lalu-lintas buku antara kedua negara yang menguntungkan hanya sepihak masih juga tidak selesai-selesai. Maksudnya, buku-buku terbitan Indoensia bebas masuk dan dijual di Malaysia, tetapi tidak pula halnya dengan buku-buku terbitan Malaysia di Indonesia.

 

Sejak dekad 1970an lagi lalu lintas buku Malaysia ke Indonesia tidak pernah mulus. Rohani Rustam membangkitkan masalah ini dalam perbincangan dengan Balai Pustaka pagi itu, malah Rohani turut menyuarakannya ketika berbincang dengan Ikatan Penerbit Buku Indonesia (IKAPI). Siswadi dan para pegawainya di Balai Pustaka mengakui masalah itu masih wujud, namun mereka pasti ada sedikit perbezaan dalam mentafsir peraturan yang berlaku untuk buku-buku asing.

 

Difahamkan ada peraturan dari Departemen Kewangan Indonesia yang melarang buku dalam bahasa Indonesia yang diimport dijual di negera itu sebelum ia dikenakan cukai. Oleh kerana buku dalam bahasa Melayu juga dianggap buku berbahasa Indonesia maka buku-buku dari Malaysia tidak dibenarkan dibawa masuk dan dijual kecuali telah dikenakan cukai import. Siswadi berjanji untuk meneliti masalah itu dan mendapatkan pengecualian untuk buku-buku Malaysia.

 

“Peraturan itu mungkin sahaja kerana produk atau karya Indonesia tapi diterbitkan di luar negara dan dibawa masuk ke Indonesia untuk keuntungan peribadi. Maka untuk mengelakkan demikian ia perlu dipajak (cukai),”  jelas Siswadi. Namun ada juga suara yang berkata bahawa tujuan peraturan melarang buku Malaysia di jual di Indonesia adalah untuk melindungi penerbit buku Indonesia sendiri. Bagaimanapun suara demikian dianggap tidak berasas.

Pertemuan pagi itu berlangsung mesra. Balai Pustaka diwakili selain Presiden Direktornya  oleh empat pegawai tingginya termasuk Direktor Penerbitannya, Ir. H. Mumung Marthasasmita, M.M. Ada kesungguhan di kedua-dua belah pihak untuk menjayakan kerjasama penerbitan ini sesuai dengan Perjanjian Persefahaman sembilan perkara yang ditandatangani dahulu itu. Cuma yang mungkin ditanyakan mengapa setelah enam tahun perjanjian persefahami dibuat baru sekarang ada tindak lanjut? Barangkali jawapan kepada pertanyaan ini ada dalam tindakan Aziz meneliti dan membeli banyak buku terbitan Balai Pustaka setelah pertemuan bersurai. (Catatan modified on 17 Mac 2010).

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: