“Nyanyian” Daik-Lingga di Riau Kepulauan

MENGHAYATI “NYANYIAN” SEJARAH DI DAIK LINGGA

Oleh A.F.Yassin

 

Apa yang akan kami cari di tanah besar Daik Lingga? Inilah barangkali yang akan ditanya oleh setiap anggota rombongan Gapena yang memulakan pengembaraannya Ahad, 4 Julai ini. Menurut Saleh Daud, Bendahari Gapena, tersenarai 77 orang penulis dan ahli akademik yang menganggotai rombongan, tidak termasuk sejumlah anggota daripada Yayasan Warisan Johor, antaranya Dr. Zainal Keling, Dr. Ramlah Adam, Dr Ahmad Johari Moain, Dr. Abdullah Hassan, Dr. Ismail Hussein, Dr. Latif Bakar dan Jins Shamsuddin.

 

Apakah yang mereka cari sesampainya di pulau yang mula dijadikan pusat pemerintahan Johor-Riau-Lingga-Pahang oleh Sultan Mahmud Shah III pada tahun 1787. Baginda menjadikan Daik Lingga itu makmur dan dianggap bonda Tanah Melayu. Keturunannya menjadi sultan yang memerintah daerah Melayu Nusantara sehingga ketuanannya hilang pada tahun  1879 di Johor-Singapura dan 1911 di Riau-Lingga.

 

Pengamat sejarah berpendapat hilangnya ketuanan Melayu dari keturunan Sultan Mahmud Shah III ini akibat perebutan kuasa di kalangan anak raja-raja Melayu dan anak-anak Raja Bugis. Yang menambah burukkan lagi keadaan ialah campur tangan dua penjajah Barat, Belanda dan Inggeris yang “meratah” luluh daerah besar Melayu Nusantara ini. Para peserta rombongan Gapena, mulai 4 Julai ini tentunya akan dapat menjawab “apa yang kami cari” sebaik sahaja memulakan pelayaran dengan feri dari jeti Setulang Laut di Johor Bahru menuju Tanjung Pinang (Pulau Bentan) dan kemudian belayar pula dari Tanjung Pinang menuju Daik Lingga.

 

Pelayaran dari Tanjung Pinang ke Daik ini menarik. Sebabnya, peserta seperti dibawa belayar mengikuti laluan perahu diraja Sultan Mahmud ke Lingga bersama 200 perahu pengikut-pengikut Baginda. Pada ketika yang sama peserta rombongan dapat membayangkan laluan sejarah Bendahara Abdul Majid, yang ketika itu berada di Riau,  dengan angkatan 150 buah perahu bertolak pulang ke Pahang. Kebarangkatan Baginda Sultan Mahmud memulakan penghijrahan beramai-ramai (exodus) orang Melayu di Riau ke tempat-tempat lain seperti ke Bulang, Selangor, Terengganu dan Kalimantan. Mereka pindah kerana takut Belanda akan menyerang balas setelah kalah dalam pertempuran di Tanjung Pinang menentang lanun, yang dibantu secara tak langsung oleh Sultan Mahmud.

Menurut sejarah, Sultan Mahmud adalah hasil lantikan Yamtuan Muda Daeng Kemboja, setelah ayahanda Sultan Mahmud, Sultan Ahmad Riayat Shah (Marhum Tengah) mangkat pada tahun 1761. Sebenarnya, pembesar-pembesar Melayu mahukan salah seorang  daripada dua saudara almarhum Sultan Abdul Jalil (Raja Di Baruh), iaitu Tengku Kadir atau Tengku Buang dilantik sultan. Tetapi Daeng Kemboja dan pembesar-pembesar Bugis mahukan Raja Mahmud, adik almarhum Sultan Ahmad Riayat Shah sebagai pengganti.

 

Ketika melantik Raja Mahmud, Daeng Kemboja mencabar segala yang hadir dalam majlis yang maksudnya, “Barang diketahui kiranya oleh suku-suku sebelah Melayu dan Bugis, bahawa sesungguhnya Raja Mahmud inilah Raja Johor dan segala daerah takluknya yang dilantik oleh Bugis sebagaimana  melantik nindanya Sultan Sulaiman, ia pun demikian jualah. Maka barang siapa yang tiada mematuhi aturan ini, maka pada hari dan waktu inilah kita berhabis-habisan.” Daeng Kemboja membuat pengisytiharan itu sambil menghunus pedangnya. Tidak ada siapa pun berani membantah perlantikannya itu. Dan oleh kerana usia Sultan Mahmud masih belum setahun maka kuasa pemerintahan dipegang oleh Daeng Kemboja dengan dibantu oleh Raja Haji.

 

Sultan Mahmud mempunyai beberapa orang isteri. Dengan isterinya Cik Makoh, anak pembesar Bugis bernama Daeng Maturang (Encik Ja’afar), baginda berputerakan  Tengku Hussain. Dengan isterinya Cik Mariam, anak pembesar Bugis bernama Bandar Hassan, baginda berputerakan pula Tengku Abdul Rahman. Tengku Hussain disebut juga Tengku Long kerana dia anak sulung, sementara Tengku Abdul Rahman disebut juga Raja Juma’at atau Si Komeng. Dengan isterinya Raja Hamidah (Engku Puteri) anak almarhum Raja Haji, baginda mendapat seorang puteri tetapi meninggal dunia tiada lama setelah dilahirkan.

 

Kemangkatan Sultan Mahmud pada tahun 1812 menimbulkan persoalan saiapa pengganti Baginda. Tengku Hussain atau Tengku Abdul Rahman? Mengikut tradisi turun-temurun anak sulung lazimnya dilantik sultan. Malah dikatakan setahun sebelum Baginda mangkat, Sultan Mahmud pernah berpesan kepada kedua-dua Tengku Hussain dan Tengku Abdul Rahman. Pesan Baginda kepada Tengku Hussain, “Engkau Long ialah anakku yang sulung. Menurut  adat dan peraturan Kerajaan Johor, engkaulah yang menggantikan aku di atas kerajaan. Aku berharap benar, selagi aku hidup, hendaklah engkau berkahwin dengan Cik Wan Esah, anak Encik Wan Koris, adik kepada Encik Wan Ali, Bendahara Pahang sekarang ini.” Pesannya kepada Tengku Abdul Rahman pula, “Engkau Komeng, oleh sebab engkau cenderung dalam perkara agama, beramal ibadat, hendaklah engkau jadi orang alim, dan eloklah engkau bersiap-siap pergi ke Mekah.” Bagaimanapun versi Tuhfatu’n-Nafis membawa cerita lain pula. Dikatakan Sultan Mahmud memanggil Yamtuan Muda Raja Ja’afar dan orang-orangnya di Riau dan menitahkan, “Jikalau aku dikehendaki Allah dalam sehari dua ini aku mati, engkau sebagai wakilku, Si Komenglah engkau lantik menggantikan aku.”

 

Pertikaman lidah berlaku antara puak yang mahukan Tengku Hussan dengan puak yang mahukan Tengku Abdul Rahman. Raja Ja’afar sendiri mahukan Tengku Abdul Rahman. Akhirnya Raja Ja’afar bertanya kepada Tengku Abdul Rahman dan ketika itu Tengku Hussain masih berada di Pahang dan sedang melangsungkan perkahwinan dengan Cik Wan Esah. Tengku Abdul Rahman enggan dilantik sebagai pengganti kerana dia berpegang teguh kepada pesan almarhum ayahandanya. Tengku Abdul Rahman mahukan Tengku Hussain juga dan sementara menunggu kepulangan Tengku Hussain, dicadangkan Raja Ja’afar menjadi pemangku sultan.

 

Raja Ja’afar keberatan kerana menurutnya dia tidak boleh memangku kerana masih ada putra almarhum Sultan Mahmud di depannya. Tengku Abdul Rahman terdiam dan Raja Ja’afar mentafsirkan diam Tengku Abdul Rahman itu sebagai persetujuan untuk dilantik menjadi sultan. Akhirnya Tengku Abdul Rahman diisytiharkan sebagai Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah. Baginda juga adalah Sultan Riau-Lingga II. Setelah Tengku Hussain pulang dia menuntut hak ketuanannya, tetapi ditolak. Akhirnya Tengku Hussain menyepi, hidup bersendirian. Kedudukan Tengku Hussain inilah yang dimanfaatkan penjajah Inggeris untuk mula campur tangan di daerah Nusantara.

 

Dengan Belanda sibuk dengan memasukkan pengaruhnya di Riau, Inggeris pula melantik Tengku Hussain sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Hussain Muhammad Shah ibni almarhum Sultan Mahmud pada 6 Februari 1819. Satu perjanjian telah ditandatangani antara Inggeris di satu pihak dengan Sultan Hussain dan Temenggung Seri Maharaja Abdul Rahman di pihak yang lain. Antara isi perjanjian itu ialah kompeni Inggeris akan membayar sebanyak $5,000 setahun kepada Sultan Hussain dan $3,000 kepada Temenggung. Pelabuhan Singapura hendaklah diletakkan di bawah  lindungan Inggeris dan tertakluk di bawah peraturan orang Inggeris. Temenggung bolehlah menerima separuh daripada cukai perahu bumiputra.

 

Maka bermulalah Inggeris bertapak di Singapura yang akhirnya menjadi milik sepenuh Inggeris. Pada tahun 1824, John Crawford, residen Singapura membuat perjanjian dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman untuk menyerahkan langsung  Singapura dan pulau-pulau yang berdekatan dengannya menjadi hakmilik Inggeris dan menurut Buyong Adil dalam bukunya Sejarah Johor, “Sejak itu, hilanglah kuasa Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman di pulau itu. Tetapi Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman dibenarkan juga tinggal di Singapura.”

 

Dikatakan punca kehilangan hakmilik ini ialah tipu helah Crawford sendiri yang menahan bayaran bulanan kepada Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman. Oleh kerana desakan kewangan kedua-dua Sultan dan Temenggung ini tidak punya pilihan kecuali bersetuju dengan kehendak Crawford seperti yang dimeterai dalam perjanjian 1824 itu. Kesudahannya, Sultan Hussain dan waris keturunannya cuma mampu mempertahankan kawasan Kampung Gelam, tempat tinggalnya sejak baginda menjadi Sultan. Temenggung Abdul Rahman mempunyai nasib yang beruntung kerana dapat waris keturunannya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan politik dan ekonomi  kontemporer. Dengan kelihaian berpolitik waris-waris Baginda berjaya setidak-tidaknya membangun sebuah kerajaan  di Johor di tengah-tengah gelombang pengaruh penjajahan Inggeris.

 

Di Riau-Lingga, nasib waris-waris Sultan Abdul Rahman menemui nasib yang hampir serupa dengan waris-waris kekandanya Sultan Hussain. Pada tahun 1825, misalnya, Belanda membuat perjanjian dengan Sultan Abdul Rahman dan Yamtuan Muda Raja Ja’afar bahawa semua daerah  di pulau-pulau Melayu Nusantara telah dibahagi dua oleh  Inggeris dan Belanda. Menurut perjanjian itu, “Mana-mana pihak tanah Melayu di sebelah kanan kapal Anjiman (kapal Kompeni Inggeris) pergi ke negeri China, iaitu bahagian goberman Belanda dan mana-mana yang di sebelah kirinya hak bahagian goberman Inggeris. Adapun Johor dan Pahang terlepaslah daripada bahagian Sultan Abdul Rahman.” Kira-kira 120 tahun kemudian, semua bahagian “goberman” Belanda di selatan Singapura dimerdekakan melalui Republik Indonesia, sementara semua bahagian “goberman” Inggeris di utara Singapura, kecuali pulau itu dimerdekakan dalam Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

 

Maka demikianlah akhirnya, anak cucu Sultan Mahmud Shah III  dari keturunan Tengku Hussain dan Tengku Abdul Rahman gagal mempertahankan kedaulatan wilayah masing-masing akibat tipu muslihat dua kuasa penjajah, Inggeris dan Belanda. Waris pengganti Tengku Hussain  Tengku Ali dan Tengku Alam beserta anak-anak cucu mereka larut ditelan zaman dan hari ini waris-waris mereka “dihalau” dari Kampung Gelam, yang dahulunya kawasan istana Tengku Hussein dan pengggantinya. Di Lingga Tengku Abdul Rahman dan waris-waris penggantinya seperti Sultan Muhammad (Marhum Keratun), Sultan Mahmud Muzaffar Shah, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah juga gagal mempertahankan kedaulatannya apabila Belanda memecat sultan terakhirnya pada tahun 1911.

 

Terjadilah suatu realiti dalam sejarah.Bendahara Tun Ali dari Pahang pernah berkata, “Yang telah memisahkan orang adik-beradikm dan anak-beranak; dan jika dipandang dari segi politik, merekalah (Inggeris dan Belanda) yang telah memecahbelahkan rumpun bangsa Melayu yang sedarah sedaging.” Dan anggota rombongan Gapena pasti sudah mendapat mencari jawapan ketika mereka berada di Tanjung Pinang dan Daik Lingga nanti. Tinggalan sejarah seperti makam-makan diraja dan orang Daik dan Bentan adalah saksi kepada sebuah tamadun yang akhirnya “diratah” luluh oleh penjajah yang rakus memanfaatkan keadaan tidak menentu politik Melayu! (Catatan modified on 24 June 1999).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: