Orang Siak Ngomongnya Kayak Orang Rembau

Tuesday, 3 June 2008

LOGHAT SIAK DAN REMBAU TAK BANYAK BEZA

TUTUR KATA ORANG SIAK MIRIP ORANG NOGORI
Oleh A.F.Yassin (yang berkunjung ke Siak brsama Tim Jejak Bahasa, anjuran DBP-TV3pada tahun 2000.)

Jam 5.30 petang, 21 Februari, Muzium Siak yang dahulunya istana Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup.
Namun krew penggambaran Jejak Bahasa dan TV3 masih berada di dalam untuk mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media selulus.
Antara barang yang diabaikan termasuklah manuskrip dan perjanjian lama yang dibuat Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang menjadi tarikan krew ialah sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang masih ada di dunia.
Di luar muzium, tiga orang gadis menghampiri pintu masuk. Mereka mahu masuk tetapi dicegah pengawal muzium.
Kata seorang gadis, awak nak nengok! dia merayu supaya membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata pengawal, ada TV3 dari Malaysia lagi shooting.
Gadis itu membahasakan dirinya awak. Dan awak di Siak bererti saya. Lalu saya teringat akan bahasa orang Negeri Sembilan, terutama Rembau yang lazimnya membahasakan dirinya awak.
Beberapa minit kemudian, saya mendengar pula pengawal itu bersembang dengan seorang kawannya yang baru sampai.
Tanya pengawal, malam ini kau buek apo? Kawannya menjawab, tak ada buek apo do! Duduk yo di rumah. Nak nengok budak-budak itu baco buku sekolah. Budak-budak bermaksud anak-anaknya.
Sekali lagi saya teringatkan dialek orang Negeri Sembilan. Pernah Profesor Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek pertuturan orang Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan. Malam itu saya menghubungi Darmawijaya, penyair dan budayawan terbilang di Seremban melalui telefon.
Saya hendakkan kepastian tentang perbilangan tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama Rembau.
Darmawijaya membacakan satu petikan dari sebuah buku, Raja Mahmud dijadikan Raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan menetap di Penajis dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat restu dari Sultan Johor pada kurun ke-17. Maka adalah perbilangan yang berbunyi beraja ke Johor, bertali ke Siak dan bertuan ke Minangkabau.
Pengarang buku negeri yang sembilan, Nurhalim Ibrahim pula suatu ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini.
Nurhalim berpendapat bertali ke Siak itu mungkin membawa maksud orang-orang di Negeri Sembilan, khususnya Rembau kebanyakannya mempunyai hubungan keluarga dengan orang Siak.
Ada pertalian darah. Kurang pasti apakah Dato’ Lela Balang yang keturunannya menjadi Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi berasal dari Siak atau dari Minangkabau. Dalam pada itu, ada pula suku-suku di Rembau yang sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti suku tanah datar.
Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan mendengar pertuturan penduduknya, adalah diyakini, Nurhalim akan membuat kesimpulan bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian besarnya berasal dari Siak.
Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak amat ketara, walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang.
Lenggok intonasi pertuturan orang Siak amat berbeza dengan orang Minang tetapi lenggok intonasi orang Rembau hampir sama dengan lenggok orang Siak.
Amat menarik jika orang Rembau di Negeri Sembilan mengunjungi Siak serta Inderaputra, apakah perasaannya? Apakah ia terasa akan wujud keterikatan daripada sudut pertuturan dan pertalian darah yang kental setelah mendengar orang Siak bercakap atau melihat keadaan alam sekeliling yang saling tak tumpah dengan di daerahnya sendiri?
Di tebing sungai Siak penuh dengan pokok rumbia. Ada juga pokok mengkuang, kelapa sawit dan getah menjadi tanaman utama. Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibu kota Perupensi Rembau ke Siak Seri Inderapura yang dilihat ke kiri kanan hanya estet kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan.
Siak Seri Inderapura suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan besar dan berdaulat. Daerah taklukkannya menjangkau wilayah yang hari ini terletaknya medan di Sumatera Utara.
Menurut sejarah, kerajaan Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang Siak), yang dikatakan anak sultan Mahmud Johor yang mangkat dijulang pada tahun 1699.
Doktor Nadas Hasrin dari pejabat pelancongan Siak menjelaskan anak Sultan Mahmud dengan isterinya Cik Pong ini yang masih bayi ketika dibawa lari ke Sumatera.
Cerita pelarian Raja Kecil itu mempunyai versi. Menurut versi pertama, setelah sultan mangkat dijulang Bentan ditikam laksamana Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pong dilarikan bersama bayinya ke jambi lalu ke Sumatera Selatan.
Di sana anaknya itu dibesarkan dan akhirnya mengasaskan kerajaan Siak. Menurut versi kedua pula, Cik Pong dan anaknya dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar Ruyong di Sumatera Barat (Minangkabau).
Setelah dewasa Raja Kecil perlu membuktikan dirinya anak raja dengan memanjat pohon jelatang sejenis pokok yang daunnya jika dipegang atau disentuh membuat orang gatal-gatal.
Raja Kecil memanjat pohon itu dan kemudian turun tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya. Dengan ujian ini Raja Pagar Ruyong mengisytiharkan Raja Kecil sememangnyalah seorang anak raja sebenar-benarnya.
Siak waktu masih di bawah takluk Johor tetapi hanya pada nama dan diketuai oleh seorang Syahbandar.
Maka oleh Raja Kecil Siak dijadikan pusat kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan apa yang dipanggil kerajaan Siak Seri Inderapura.
Raja Kecil menjadi raja dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan bertakhta dari tahun 1723 hingga 1745.
Baginda memerangi Johor yang di bawah Sultan yang bernasabkan Bendahara setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan tidak meninggalkan pangkatnya.
Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat dibunuh tanpa mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkan Bendahara sebagai pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya menjadi raja untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Rembau, Pahang dan Lingga.
Sultan terakhir di kalangan keturunan bendahara ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari istana Sari Galam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen parlimen Singapura.
Apa pun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah bercita-cita merebut takhta milik ayahandanya Sultan Mahmud mangkat dijulang dari tangan sultan keturunan bendahara. Beberapa peperangan terjadi dengan menang dan kalah menjadi adat orang berperang.
Pernah Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah menguasai seluruh kerajaan Johor namun akhirnya baginda terpaksa akur dengan keputusan Johor.
Bagaimanapun, semangat juang Sultan Abd. Jalil Rahmat ini diteruskan oleh penggantinya yang pada kali ini menentang penjajahan Belanda pula.
Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Seri Inderapura saling silih berganti sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil pada tahun 1746).
Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah (1746-1765), Sultan Abdul Jalil Jallaludin Shah (1765-1766), Sultan Abdul Jalil Alamaldin Shah (1766-1780), Sultan Muhamad Ali Abdul Jalil Muazam Shah (1780-1782), Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah (1782-1784), Sultan Al-Siddis Sharif Ali Abdul Jalil Saifuldin Balawi (1784-1810).
Baginda merupakan sultan pertama yang berdarah arab dengan gelaran Syed Sharif.
Baginda adalah anakanda kepada Puteri Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah, Sultan yang ke-6 memerintah Siak.
Puteri ini berkahwin dengan bangsawan arab ketika Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di Dungun ketika mengunjungi Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda yang berdarah arab ini menjadi penggantinya.
Sultan pertama berdarah arab ini mangkat pada tahun 1810 dan digantikan oleh puteranya dengan gelaran Sultan Al-Siddis Sharif Ibrahim Abdul Jalil Halilaldin (1810-1815).
Penggantinya Sultan Al-Siddis Sharif Ismail Jalil Jallaldin (1815-1854). Anakanda baginda naik takhta pada tahun 1854 dengan gelaran Sultan Al-Siddis Sharif Kasim Abdul Jalil.
Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah mangkat, baginda digantikan oleh Sultan Al-Siddis Sharif Hashim Abdul Jalil Saifuldin (1889-1908).
Anakanda baginda yang bernama Tengku Sulong naik takhta setelah 7 tahun kemangkatan ayahandanya, Sultan Al-Siddis Sharif Hashim Abdul Jalil Saifudin, iaitu pada tahun 1915.
Baginda merupakan sultan terakhir Siak setelah baginda menyatakan taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah republik Indonesia dan bersama berjuang menentang Belanda.
Pernyataan baginda ini mendapat bantahan keras dari Belanda. Akhirnya baginda meninggalkan Siak lalu menggabungkan diri dengan rakyat Indonesia untuk melanjutkan perjuangan di daerah Aceh.
Sebelum meninggalkan Siak, baginda menyerahkan istananya berserta keseluruh kekayaan Siak kepada pemerintah republik Indonesia.
Setelah Indonesia rasmi merdeka pada 17 Ogos 1945 baginda berangkat ke Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat pencen dari pemerintah Indonesia.
Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak tanah tumpah darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun.
Baginda dimakamkan berdekatan dengan Masjid Shahilbuldin Seri Inderapura dengan penuh istiadat kenegaraan. Baginda dianugerahkan secara pos umum gelar pahlawan nasional dengan disertai piagam dan tanda kehormatan bintang Mahaputra. Putera Adekradana oleh presiden republik Indonesia pada tahun 1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang Belanda.
Muzium Siak Seri Inderapura yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak terutama sultan terakhirnya.
Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah peninggalan sultan sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan daripada asalnya yang telah disimpan di Muzium Jakarta atau yang telah hilang.
Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha daerah Kabupaten Siak, Dr. Zul Arianto, 19 Februari lalu kepada rombongan Jejak Bahasa diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam Kesatuan Republik Indonesia.
Penduduk Siak sejak berada dalam republik telah mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka silih berganti.

posted by FUAD HASHIM a.k.a A.F.YASSIN at 08:30


 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: