Sembang MAS Di Rumah Gapena

CATATAN A.F.YASSIN

Menelusuri Perjalanan MAS Di Rumah Gapena

 

Melancarkan buku penulis Singapura di Rumah Gapena mungkin dianggap sedikit luar biasa bagi sesetengah penulis di Malaysia. Mengapa buku penulis luar bukan buku penulis Malaysia sendiri? Inilah yang difikirkan sebaik sahaja menerima kad jemputan Gapena beberapa minggu lalu. Dalam kad jemputan itu tertulis antara atur acaranya “Pelancaran Memoir Perjalanan MAS”. Pelancaran pula akan dirasmikan oleh Dato’ Siti Azizah,  Ketua Setiausaha Kementeri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Majlis pelancaran ini mendahului acara induk Dialog Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura.

 

Mengapa tidak?  Jawapan spontan seorang penulis Malaysia yang turut hadir dalam majlis dialog itu Sabtu lalu. “Kita kena tengok buku siapa yang kita lancarkan. Ini buku Mohamad Ariff Ahmad, pengasas dan bekas Ketua Satu ASAS ’50. Dan lagi kalau awak nak tahu Mohamad Ariff lulusan maktab perguruan Tanjung Malim. Dan kalau nak tahu lagi, dulu waktu cikgu Arif belajar di Tanjung Malim tak ada itu apa yang disebut negara Singapura,” ujar penulis itu.

 

Penulis yang sudah berumur juga ini barangkali berasa tersinggung apabila soalan itu diajukan kepadanya. Atau mungkin juga dia sedang meluahkan emosi kecintaannya terhadap apa yang disebut Melayu yang sekarang ini mula diperlekeh sesetengah pihak. Tanggapan kedua ini mungkin benar kerana daripada perbualan pendek dengnnya, dapat disimpulkan bahawa semangat Melayunya cukup tinggi. Baginya Ariff adalah simbol Melayu yang kental dengn semangat Melayunya, walaupun dia kini adalah warga minoriti di sebuah negara pulau yang dulunya sebuah negeri Melayu jua.

 

Ariff adalah penyambung rantaian Melayu di kedua-dua seberang tambak dan di Singapura sendiri Ariff adalah lambang survival bangsa minoriti Melayu di Singapura. “Terima kasih kepada Tanjung Malim yang telah meniupkan semangat Melayu dalam rongganya. Dan hari ini dia tunjukkan semangat kecintaan semangat itu dengan mengizinkan memoir perjalanannya dilancarkan di Kuala Lumpur.”

 

Cadangan untuk melancarkan buku Ariff ini berpunca daripada pertemuan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussain dan ketua duanya, Datuk Latiff Bakar dengan Ariff dan Zulkifly, Presiden Majlis Pusat Pertubuhan Budaya Melayu Singapura beberapa minggu sebelum ini. Kedua-dua pihak tertarik dengan cadangan untuk melancarkan memoir Ariff buat kali keduanya di Rumah Gapena. Semuanya atas dasar persamaan bahawa Ariff, bekas pelajar SITC dan bekas guru sekolah Melayu. Ariff adalah antara warga golongan seperti yang disbut Prof. Madya Zainal Abidin Borhan dalam dialog pagi itu, “agamawan-wartawan-sasterawan yang menyedari hakikat kewujudan sebuah bangsa.” Golongan ini berkongres untuk meletakkan bahasa Melayu, sastera Melayu dan tulisan Melayu sebagai wadah pentauan. Sementara menurut Zainal Abidin kongres persuratan dan bahasa Melayu, Kongres Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu merupakan wadah pertemuan dan penyatuan meletakkan gagasan kebangsaan.

 

Ketika perjuangan berada pada tahap puncaknya, entiti dua negara Malaysia dan adalah satu dari sudut geo-politiknya dan sisa satu entiti itu masih jelas benar dari sudut geo-budayanya. Dan semasa berlangsungnya majlis pelancaran memoir perjalanan Ariff dan dialog kebudayaan Melayu di Rumah Gapena, suasana  keMelayuan itu amat terasa. Malah 29 orang Melayu dari Singapura itu bagaikan tinggal sekampung dengan puluhan lagi Melayu dari Malaysia yang memenuhi jemputan Gapena hari itu.

 

Meilhat Arif duduk bersama-sama dengan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein, Cikgu Hassan Ali dan Ismail, Djamal Tukimin pula bersama dengan Prof. Madya Dr. Solehah Ishak, dan Masuri SN dipelawan makan tengah hari oleh Abd. Rahim Marsidi (pensyarah UPM) di restoran  masakan ala Jakarta di Kg. Baru, bagaikan tidak wujud langsung rasa rasa keterasingan antara mereka. Orang tidak akan percaya melihat kemesraan orang Melayu dari dua negara itu sebenarnya dipisahkan oleh hanya politik dn kuasa.

 

Ariff adalah ikon orang Melayu Singapura, malah Ariff boleh juga dianggap sebagai ikon ASAS ’50, tanpanya tidak mungkin sasterawan tanah air seperti Usman Awang, Asraf,  atau Awal il-Sarkam ditokohkan seperti adanya hari ini. Datuk Yaakob Isa, dari Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang memperkenalkan Memoir Perjalanan MAS di majlis itu menyebut betapa nama Ariff dikenali dengan akrab di kalangan pelajar-pelajar Singapura yang sedang belajar di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Menurut Yaakob, “Bagi pelajar ini, cikgu Ariff adalah  orang yang sangat baik, orang yang banyak sekali menolong orang Melayu Singapura, penulis, pengarang, pendidik dan tokoh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Mereka sekata menganggap semua orang Melayu  Singapura mesti mengenali Cikgu Ariff.”

Buku memoir perjalanan cikgu Ariff ini adalah tentang pengalaman dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan dengan tokoh sentralnya Mohamad Ariff Ahmad. Kata Yaakob, “Perjalanan Mas membawa kita mengkagumi kecekalan seorang guru Melayu yang berkhidmat di pelbagai arena dalam sebuah negara republik yang bangsa Melayu merupakan minoriti yang nampaknya tidak pernah menjadikan Cikgu Ariff terpencil atau memencilkan dirinya daripada arus perdana pembangunan negaranya. Inilah sebenarnya semangat perjuangan guru Melayu yang ditanamkan oleh tokoh-tokoh pendidik yang menjadi tenaga pengajar di SITC dan tetap subur dan menjiwai peribadi Cikgu Ariff.”

 

Begitu mendalamnya hubungan Ariff dengan SITC, khususnya dan Semenanjung Tanah Melayu (Malaya ketika itu) sehingga beliau sanggup berundur  dari kegiatan yang diadakan oleh Persatuan Guru-guru Melayu Singapura. Pengundurannya ini berpunca daripada keputusan Sekolah Melayu Kota Raja menolak permohonan Ariff dan teman-temannya untuk  menggunakan dewan sekolah berkenaan untuk tempat mengadakan Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya. Yaakob menulis, “Ingin juga kita mengetahui siapakah guru besar sekolah Melayu Kota Raja yang tergamak hatinya menolak permohonan Cikgu Ariff dan teman-temannya.”

 

Satu isu paling menarik dalam memoir ini ialah  soal penggunaan tulisan Jawi. Badan kerabat yang menyertai Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya berbeza pendapat tentang isu ini. Ada yang setuju tulisan Jawi digantikan dengan tulisan rumi ( di sekolah-sekolah?) dan membiarkan Jawi hanya dalam pengajaran agama Islam. Dalam pengundian yang dijalankan kemudian, ternyata majoriti mahukan  tulisan Jawi hanya untuk agama Islam, manakala tulisan rumi menjadi tulisan rasmi. Dengan keputuan ini Ariff menyimpulkan ada kecenderungan pada penulis Melayu “menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan bagi Persuratan Melayu Se-Malaya.”

 

Ariff datang bertongkat ke Rumah Gapena, hanya mahu melibatkan diri sepenuhnya dengan pelancaran bukunya. Lebih-lebih lagi pelancaran ini merupakan sebahagian daripada acara Dialog  Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura yang julung-julung kali diadakan. Seperti kata Ismail dalam ucapan sambutan dialog kebudayaan Melayu ini bakal menjadi agenda tahunan dan dialog di Rumah Gapena merupakan yang pertama dan akan diikuti dengan yang kedua kemudian nanti. Mungkin sahaja giliran Singapura pula mengadakannya.

Mana tahu jika nanti sampai giliran Singapura, dan Majlis Pusat Pusat Pertubuhan  Budaya Melayu Singapura  menjadi penganjurnya, ada pula memoir seorang tokoh nasionalis Melayu dari Malaysia yang boleh dilancarkan di pulau republik itu. Tentunya memori itu dikaitkan pula dengan ibu kandung suluh budiman, dengan anak-anaknya kini telah menjadi tokoh besar dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan sedarjat dengan ketokohan Ariff dan Masuri SN di Singapura.

 

Dan dalam hal ini tidak ada yang luar biasanya melancarkan buku Malaysia di Singapura, selagi hubungan erat kebudayaan antara Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia terus bertahan. Sememangnya begitulah, jika diambil kira pandangan Djamal Tukimin (Singapura) dalam kertas kerjanya “Kemelayuan, Sesuatu Yang Mulai Terhakis Dan Cuba Didakap Kembali….Asing Tapi Mesra.” Kata Djamal, “Masih banyak juga dengan semangat kental menganggapnya sampai bila-bila pun Melayu tidak akan hilang di dunia.”  (Catatan modified on 26 June 2004).

 

 

 

 

 

 

2 Responses “Sembang MAS Di Rumah Gapena” →
  1. Nice list. I also did something similar and maybe can be useful to somebody.

    Reply
  2. There are some fascinating deadlines in this article however I don’t know if I see all of them center to heart. There is some validity but I’ll take hold opinion till I look into it further. Good article , thanks and we wish extra! Added to FeedBurner as properly

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: