A.F.Yassin: Warna-Warna Kehidupan Wahba

Wahba pix fb.

CATATAN A.F.YASSIN

Warna-warna kehidupan Wahba

Dua minggu lalu, Wan Hamzah Awang (Wahba) muncul dengan antologi karya kreatif berjudul “Warna-Warna kehidupan: Rindu Seorang Ibu”. Antologi ini adalah himpunan dua genre, puisi dan cerpen. Katanya, “Jarang penulis menghimpunkan dua genre dalam satu antologi. Dan kalau nak kumpulkan puisi sahaja orang tak baca apalagi nak beli.”

Bagi Wahba ini satu strategi pemasaran, bukan beliau tidak mempunyai cukup karya dalam sesuatu genre. Difahamkan sebuah lagi antologi dua genre akan terbit tidak lama lagi dengan Warna-warna Kehidupan kekal sebagai judul siri. Ertinya akan banyak lagi cerpen dan puisi Wahba akan menemui khalayak pembaca.

Kemunculan anotlogi terbaru ini menandakan bermulanya kegiatan kreatif Wahba yang sejak sekian lama dikesampingkannya. Sejak sekina lama itu pula Wahba tidak aktif berkarya kerana tugas yang banyak menyita waktunya semasa di Utusan Melayu. Wahba pernah dipertanggungjawabkan memimpin Mastika, Utusan Zaman dan terakhir majalah ilmiah Pemikir. Di samping itu Wahba diamanahkan pula untuk menyelaraskan pemilihan karya kreatif bagi semua majalah terbitan Utusan Melayu (kini Utusan Karya).

Katanya, “Ini bukan soal prolifik atau aktif. Sekarang saya lapang selapangnya setelah bersara. Jadi itulah saya kumpulkan semua karya saya sejak mula menulis dahulu. Masa terbaik buat saya kerana kalau tak dikumpulkan karya saya akan hilang begitu sahaja. Dan ini senaskhah, bacalah.”

Menariknya, antologi ini mempunyai tajuk kecil yang kalau dibaca sekali lalu bagaikan memberi maksud keresahan penulis dalam sikap tenangnya. Wahba begitu pendiam orangnya, tak banyak bercakap. Wahba melukiskan dalam tajuk kecilnya, “Mencari hujung yang tiada bertepi, terbeku dalam kelu. Terkapai dalam resah. Hati mati. Lidah kelu, sepi memilu.”  Tajuk kecil ini adalah sebahagian daripada bait “Resah” puisinya di halaman 31.  Bagi yang mengenal Wahba (luar dalam) puisi ini mewakili dirinya.

Seorang penulis pernah melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang.” Penulis itu tidak menambah lagi. Tapi mungkin juga penulis itu tidak akan melengkapkannya dengan kata-kata “jangan disangka tiada buaya.”  Mungkin dia ingin menambah pelengkap “ada arus yang bergejolak di dalamnya.” Maka penulis itu ingin melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang jangan disangka tidak bergejolak arusnya.”

Hampir semua sepuluh cerpen dalam antologi ini tidak mempunyai elemen provokatif, mengata atau menyinggung sesiapa. Kata Wahba, “Sebahagian besar cerpennya adalah gambaran persoalan manusia dengan kehidupan yang mengandungi berbagai-bagai warna dan emosi, derita gembira serta ceria dan pilu.”

Wahba orang lama dalam dunia sastera, walaupun dia menganggap dirinya belum cukup kuat untuk digelar tokoh atau veteran. Sebagai orang lama Wahba tidak mampu “terjun” bereksperimen seperti penulis generasi baru yang terlalu obses dengan pendekatan “avant-garde”nya dan teknik penulisan yang super terkini.  Wahba pengikut konvensionalis dan seperti halnya “tradition dies hard” Wahba seperti tidak mahu tahu wujudnya teknik yang digilai penulis generasi muda hari ini. Sikap Wahba demikian bagaikan mempersoalkan rasional bahawa penulis konvensional tidak semestinya dinamik dan progresif. Juga rasional bahawa penulis yang tidak bersifat global dan bervisi besar itu tidak mengikut zaman dan masih tinggal di bawah kepompong masyarakat nya sahaja.

Wahba mempunyai pandangan bahawa soal maju atau tidak majunya penulis bergantung kepada ruang lingkup pemikirannya. Misalnya upaya membina bangsa dalam sesuatu karya terletak bukan pada besar tidaknya visi, global tidaknya sikap, atau ada tidaknya pemikiran gardu depan (avant-garde) seseorang penulis. Yang lebih penting misi dan visi yang digambarkan secara halus dan komunikatif. Sebarang teknik yang mempersulit komunikasi, walau bagaimana super terkininya, tidak akan membawa banyak manfaat jika gambaran misi dan visinya tidak terungkap.

Inilah yang cuba dimanfaatkan Wahba dalam antologi ini. Hampir semua cerpennya memperalatkan teknik konvensional dengan persoalan manusia biasa. Namun amat jelas Wahba mampu mendekatkan emosi dan sentimen watak-wataknya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Malah dialog yang digunakan adalah mencerminkan kepribadian watak itu sendiri. Jika watak itu seorang posmen dia akan bercakap seperti seorang posmen, bukan seperti seorang pegawai atau ahli korporat. Makna kata, Wahba amat berhati-hati dalam pemilihan kata-kata untuk watak-wataknya. Malah dialog itu juga telah mencerminkan nilai-nilai universal.

Membaca cerpen-cerpen Wahba ini tidak memeningkan kerana tidak ada yang boleh membuatkan pembaca pening. Sebabnya teknik konvensional yang digunakan mampu mengajak pembaca turut sama menyelami resah gelisah atau suka duka watak-wataknya. Tidak ada persoalan timbal balik atau bawah sedar yang ruwet. Malah kebanyakannya bersifat kronologis dengan peleraian cerita yang tidak banyak menuntut orang berfikir.

“Aduhai Datin Peah” dan “Alahai YB” adalah dua daripada 10 yang barangkali boleh menyinggung, namun mesejnya tidaklah sampai melukakan. Dan realitinya memang begitu. Dalam “Alahai YB” (halaman 117), misalnya, apa yang dilukiskan Wahba adalah reality kehidupan dunia politik. Yang menikam dan yang kena tikam. Jika tak sanggup diperlakukan demikian maka sebaiknya jauhkan diri dari politik. Inilah mesej Wahba. Begitulah akhirnya watak Karim ditikam dari belakang oleh pencabarnya Kardi yang akhirnya terpilih sebagai calon parti.

Difahamkan semua cerpen ini telah disiarkan dalam pelbagai media. Dari sudut pengkaji, cerpen-cerpen ini tidak banyak memberi manfaat. Jalur pemikiran Wahba sebagai cerpenis sejak tahun 1970an lagi tidak dapat ditebak kerana tidak dicatatkan bila cerpen ini dicipta dan bila pula ia disiarkan. Ada kemungkinan cerpen awal dalam antologi ini disiarkan lebih kemudian berbanding cerpen-cerpen di bahagian akhir antologi.

Wahba yang kini sedang giat membantu Ran Publishers menerbitkan “Puisi 100 Penyair” menyelitkan puisinya dalam antologi ini. Setiap cerpen diselang seli dengan sajak. Ada 14 buah sajak, 10 daripadanya tentang ketuhanan sementara empat lagi tentang perjalanan. Persoalan tidak banyak lari daripada persoalan dalam cerpen. Wahba memilih sajak-sajak ini sebagai pelengkap yang harmonis kepada lukisan wajah cerpennya. Tidak sukar memahami sajak-sajaknya. Tidak ada unsure abstrak dan setiap patah kata yang dipilihnya adalah lambang-lambang yang mudah ditafsir. Kadang-kadang sajak Wahba ini adalah jelmaan prosa-prosa pendek. Saling tak tumpah.

Dalam sajak “Pemberian.Nya” Wahba menulis, “Bukan emas berlian/ intan atau wang berjuta/ yang diberinya/ Dia hanya memberi kamu/ sebuah kitab/ yang perlu kamu baca/ dan menghayati panduannya.”  Wahba mengakhir puisinya dengan “Jika kamu berfikir/ Kamu tidak akan sesat/ kerana kandungan dan panduannya/ memberi sinar bahagia/ selama-lamanya.

Inilah laras bahasa yang digunakan Wahba dalam puisinya. Memang sukar mencari kata-kata bombastik dengan jargon-jargon lagaknya (snobbish) dalam 14 puisi Wahba yang dimuatkan. Sebagai contoh lihat sahaja pemilihan kata-kata dalam sajaknya “gadis di sebalik cermin.” Wahba ingin menyampaikan bahawa wanita penjual maruah dan diri memanfaatkan kecantikan yang bukan asli yang hanya wangi di luaran tetapi  hangit di dalamanan. Indah khabar dari rupa.

Seperti halnya dengan cerpen tidak ada sumber rujukan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh pengkaji. Wahba menyedari kekurangan sumber ini, namun katanya “ada banyak cara untuk orang mengkaji karya penulis.” Maksud Wahba mungkin, pengkaji biasanya tahu bagaimana membuat kajian. Pengkaji yang mahir boleh menilai karya, malah boleh meneka bila karya dicipta dengan hanya membuat perbandingan  antara satu karya dengan yang lain.

“Warna-Warna Kehidupan Rindau Seorang Ibu” setebal 190 halaman membawa persoalan biasa lagi lokal tetapi mampu menyampaikan mesej yang universal kepada pembacanya. Tidak ada konflik antarabangsa, tidak ada teknik yang memeningkan. Wahba masih berpegang kuat kepada elemen konvensional. Antologi ini diterbitkan oleh Progressive Publishing House Sdn Bhd, Lembah Keramat. Harga senaskhah tidak dinyatakan. (Date modified 8 June 2005). 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: