ANWAR IBRHIM, RAHIM BAKAR DAN DEWAN BAHASA

Berpijak Ke Alam Bahasa dan Sastera

 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan institusi yang tidak pernah difikir oleh Abd. Rahim untuk berkhidmat sebagai pengerusi. Sepanjang kerjayanya sebagai pegawai negeri dan kemudian pentadbir sebuah negeri, institusi DBP terlalu asing baginya. Hal ini disebabkan DBP terlalu menyimpang jauh dari tugas dan kerjayanya. Abd. Rahim bukan orang bahasa dan tidak pula orang sastera. Kadang-kadang dia terfikir bagaimana dia boleh dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

 

Memang benar Abd. Rahim pernah mendekati DBP sepanjang kerjayanya sebagai Menteri Besar Pahang. Abd. Rahim diminta merasmikan Persidangan Komunikasi, anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23 September 1979. Mengapa Rahim yang dipilih untuk merasmikannya tidak sukar ditelah kerana Ketua Satu PENA ketika itu ialah Adam Kadir (Dato’). Dan hubungan Adam dengan Kadir cukup intim kerana kedua-duanya berasal dari daerah yang sama, iaitu Kuantan.

 

Peserta persidangan, yang kebanyakannya wartawan, penulis dan ahli akademik tentu masih ingat intipati ucapan perasmian Rahim. Antaranya tentang hak dan kebebasan akhbar. Menurut Rahim, “Ini adalah suatu ciri atau fenomena dunia media massa. Jika ini tidak ada, media massa akan menjadi kaku dan statik, tawar dan tidak ghairah.” Lalu Rahim menyeru para wartawan supaya  “menjadi berani dan bijaksana, jujur dan teliti: Bertanggungjawab dan mengekalkan credibility.”

 

Ucapannya memberi keutamaan kepda pembangunan masyarakat dan negara, walaupun menurutnya ucapan seumpama itu sudah  menjadi klise (cliche). Katanya, “Namun ia tetap penting, kerana pengertian dan kepafahaman tentang berbagai aspek dan perkara adalah menjadi prasyarat kepada pembangunan sosial, politik dan ekonomi yang berguna kepada mesyarakat. Dan juga prasyarat untuk menegakkan demokrasi dan ketahanan nasional.”

 

Ucapan ini selari dengan konsep perjuangan Rahim dalam politik. Selama ini pun Rahim telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan nasional (baca: rakyat), malah kegigihannya dalam bidang pembangunan ini menyebabkannya tersisih dari pusat pemerintahan kemudiannya. Malah ia juga bagaikan satu faktor terpenting dia terpaksa melepaskan jawatannya sebagai ketua kerajaan di Pahang Darul makmur. Seolah-olah Rahim telah ditakdirkan untuk masuk ke dunia lain di luar politik. Dan dunia yang dimaksudkan itu ialah seni dan budaya, khususnya persuratan.

 

Cara Rahim dilantik menjadi Pengerusi Lembaga DBP sedikit terkeluar daripada peraturan biasa pemilihan dan perlantikan ahli Lembaga. Pada suatu hari dalam tahun 1986 Rahim mendapat panggilan daripada Dato’Seri Anwar Ibrahim, ketika itu Menteri Pendidikan. Menurut Rahim, “Sdr Anwar bertanya saya. Saya agak enggan kerana saya tak tahu sangat, dan tidak berepa mahir dalam hal-hal bahasa dan budaya ini.” ”Masih juga Rahim teringat kata-kata seloroh Dato’ Anwar, “Aku tidak ada apa lain nak bagi. Dalam kementerian aku selain daripada vice-chancellor universiti dan DBP. Takkan aku nak bagi kau vice-chancellor.”

 

Jawapan Rahim selamba, “Apa susah nak bagi. Aku tidak minta. Tak nak bagi sudahlah. Aku tidak minta.” Anwar berhasrat juga untuk menawarkan Rahim jawatan pengerusi itu. Akhirnya Rahim minta tempoh seminggu dua untuk menimbangkannya. Selepas 10 hari Anwar telefon Rahim di rumah. Rahim kata setuju. Yang menariknya dalam tempoh satu jam sahaja, seorang budah pembawa surat bermotosikal sampai di rumahnya dan menyerahkan surat perlantikan. Anehnya, surat itu tidak menyebut tarikh Rahim dilantik, tempoh menjadi pengerusi dan tarikh mula memegang jawatan.

 

Rahim mengakui bahawa dia berasa gerum  hendak datang ke DBP. Katanya, “Saya tidak biasa.” Akhirnya Rahim memberanikan diri datang ke Dewan Bahasa dan Pustaka dan bertemu dengan Ketua Pengarah ketika itu, Dato’ Hassan Ahmad. Rahim langsung menunjukkan surat Anwar kepada Hassan. Maka dipersetujui bahawa tarikh Rahim memegang jawatan ialah tarikh surat itu disiapkan. Surat itu bertarikh 16 Oktober 1986.

 

Dunia yang ditemui Rahim berlainan sungguh dengan dunia yang pernah dihuninya selama ini – dunia politik dan ekonomi. Tiba-tiba dia terlantar di dunia yang begitu asing baginya seolah-olah dia ibarat seekor rusa yang sesat masuk kampung. Katanya, “Memang macam rusa masuk kampung. Termangu-mangu, terkebil-kebil. Nak beri pandangan, pendapat agak susah. Ketika itu saya datang dua atau tiga kali seminggu. Tapi lebih kerap daripada pengerusi sebelumnya.”

 

Sebelum Rahim telah berapa kali jawatan pengerusi ini deipegang tokoh-tokoh Melayu, antaranya Dato’ Sheikh Ahmad dari Perlis, Dato’ Ali Hj. Ahmad dari Johor, Dato’ Mansor Hj Othman dari Negeri Sembilan, Dato’ Sheikh Hamdan Tahir dari Pulau Pinang dan Dato’ Musa Muhammad, searang Manteri Pendidikan. Dato’ Ali dan Dato’ Mansor kedua-duanya orang politik seperti halnya Rahim dan Dato’ Mansor seperti halnya juga Rahim adalah bekas menteri besar.

 

Maka barisan tokoh yang telah menyandang jawatan pengerusi ini sedikit meningkatkan semangat Rahim untuk menghadapi rasa rendah dirinya apabila berdepan dengan orang bahasa dan sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka. Rasa rendah diri dan sikap rusa masuk kampung akhirnya lenyap setelah Rahim membiasakan diri dalam suasana Dewan Bahasa dan Pustaka, terutama ketika mempengerusikan mesyuarat ahli-ahli Lembaga Pengelola.

 

Rahim mengakui bahawa setiap kali ada mesyuarat dia tidaklah kekok sangat kerana lazimnya dalam setiap mesyuarat lembaga, masalah yang dibangkitkan hampir sama sahaja dengan mesyuarat jabatan kerajaan yang lain, iaitu soal pengurusan dan pentadbiran. Hanya ketika masalah bahasa dan sastera diungkit “saya tidak banyak campur. Saya tak pandai sangat dalam hal ini.”

 

Rahim dilihat sebagai pengerusi DBP yang kerap datang ke pejabat berbanding pengerusi-pengerusi sebelumnya. Malah pada satu tempoh waktu, Rahim hampir setiap hari berada di pejabatnya. di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pernah juga beberapa orang kakitangan DBP tersalah sangka bahawa Rahim seorang pengerusi eksekutif di institusi bahasa dan sastera itu.

 

Selama hampir lima penggal Rahim menjadi pengerusi (satu penggal = tiga tahun) banyak juga sumbangannya untuk mempertingkat prestasi DBP. Seperti katanya, “Saya berasa puas dan seronok kerana saya dapat menyumbang secara terhad dari segi proses pembinaan negara melalui bahasa dan sastera.” Dan secara rendah diri Rahim menganggap dirinya hanya sebagai pembantu di DBP, dalam erti kata pendorong untuk mencetuskan idea. “Ini sering saya lakukan di berbagai-bagai peringkat – Lembaga Pengelola, Pengurusan dan di peringkat seminar, kongres bahasa dan sastera,” ujarnya.

 

Mantan Pengarah Penerbitan DBP, Rohani Rustam menyifatkan kehadiran Rahim di institusi bahasa dan sastera itu sebagai “penyelamat” atas dasar pintu terbukanya dalam menyelesaikan masalah dalaman. Kata Rohani, “Dia (Rahim) sudah memahami sejarah perkembangan DBP dan dia cuba meningkatkan satu imej dari segi arah tuju.”

 

Contoh paling baik yang diberikan Rohani ialah pengalaman Rahim dalam bidang politik  yang cuba diterapkan ke DBP. Sebagai orang politik Rahim memahami dasar ekonomi baru dan dengan itu dia cuba membantu Bumiputera dalam bidang penerbitan dan percetakan. Maka secara tak langsung Rahim memainkan peranan untuk mengagih-agihkan projek penerbitan dan percetakan kepada kaum Bumiputra.

 

Dengan berlatarbelakangkan politik, Rahim secara konsisten cuba memandu DBP supaya tidak lupa kepada tanggungjawab sosial. Barangkali dia mulai mengerti ketika itu bahawa pihak pengurusan DBP telah mula terikut-ikut dengan rentak penerbit swasta dalam menyebarluaskan produk bahasa dan sastera. Sebagai contoh, pernah dalam satu mesyuarat, seorang pegawai mencadangkan supaya istilah yang dicipta DBP dijual kepada orang ramai, terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT). Rahim menolak cadangan itu dan mahu “istilah disebarkan percuma melalui internet kepada pengguna.” Rohani melihat kemahuan Rahim ini sebagai sikapnya yang “masih kuat dan bersemengat berjuang untuk rakyat.”

 

Kejujuran Rahim membimbing DBP, walau hanya seorang pengerusi bukan eksekutif tidak diragukan. Seorang kakitangan DBP pada mulanya memandang sinis Rahim yang begitu kerap menghadirkan diri di DBP berbanding pengerusi-pengerusi sebelumnya. Lebih menyakitkan, katanya,  ketika dia membuat komen yang begitu negatif setiap kali dia terpandang kereta mercedes sport Rahim terletak di poc. Mengapa dia tidak begitu menyenangi kehadiran pengerusi yang begitu kerap tidak pula dia jelaskan. Komennya itu bagaikan membawa konotasi bahawa Rahim tidak mempunyai peekrjaan lain kecuali pengerusi DBP.

 

Bagi Rohani kekerapan Rahim hadir di DBP mencerminkan kegigihannya “untuk memimpin organisasi budaya DBP yang ketika itu amat sensitif. Saya lihat banyak perubahan ketara. Begitu tajam pandangan dan fikiran dia tentang sesuatu isu, terutama dari segi staf, tenaga pekerja. Kelemahan dan kekuatan yang saya sendiri nampak, dia juga nampak. Dia sangat observant. Pengurusan pentadbirannya kuat sekali kerana pengalaman yang ada padanya dalam bidang itu.”

 

Satu insiden pentadbiran yang melibatkan Rahim terjadi. Dalam satu mesyuarat, Rahim menunjukkan rasa kurang sabar jika ada yang hadir kurang faham tentang sesuatu perkara yang dibincangkan. Namun Rahim hanya membiarkan orang itu membebel dan kadang-kadang menyimpang daripada persoalan. Setelah selesai orang itu bercakap Rahim akan berkata, “Saya ke yang tidak faham atau awak yang kurang faham.” Cara Rahim berkata itu seperti orang yang sedang marah-marah. Tetapi kata-kata yang diungkapkan itu merupakan satu tamparan kepada “yang termakan lada”. Ramai pegawai DBP melihat itu adalah cara Rahim menujukkan rasa marahnya. Unjukan rasanya itu tidaklah seperti kata Rohani “sampai membaling-baling fail. Dato’ boleh menahan rasa marahnya dan dia tidak menunjuk sangat.”

 

Penglibatan Rahim dalam kerja-kerja harian semakin terasa, walaupun sebenarnya dia tidak perlu berbuat begitu berdasarkan kapasitinya sebagai pengerusi non-eksekutif. Bagaimanapun disiplin diri dan tanggungjawab terhadap memikul amanah yang diberikan tidak membezakan Rahim sebagai pengerusi non-eksekutif ataupun sebaliknya. Minatnya untuk mengembangkan bahasa semakin meningkat. Rahim malah mahu melihat bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan di seluruh Asia. Seperti katanya, “Kalau direstui Tuhan dan kalau sokongan kita ada, maka bahasa Melayu akan menjadi salah satu bahasa di peringkat antarabangsa. Sebabnya bahasa Melayu kini telah pun menjadi bahasa keempat terbesar di dunia.”

 

Pada suatu ketika orang ramai tidak menaruh harapan sangat kepada sumbangan Rahim sebagai pengerusi DBP. Sikap skeptis orang ramai terhadap peranan yang boleh dimainkan pengerusi DBP bersebab. Kuasa non-eksekutif yang diberikan kepada jawatan pengerusi tidak menjamin kuatnya pengaruh tokoh yang memegang jawatan itu. Walau seefektif manapun seorang tokoh dalam bidang politik, misalnya atau bidang pentadbiran, tetapi jika kuasa eksekutif tidak diperoleh, maka jawatan pengerusi DBP adalah sekadar pengawal dasar sahaja.

 

Masalah inilah yang mungkin menghantui Rahim ketika dia mahu menerima tawaran yang dibuat Menteri Pendidikan ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Namun Rahim bukan seperti pengerusi-pengerusi sebelumnya yang hanya menjadikan jawatan di DBP sebagai pelengkap kerjaya semata-mata. Rahim terjun langsung. Setiap kegiatan DBP diikutinya malah kadang-kadang terlibat langsung. Para pegawai Bahagian Penerbitan Bahasa mungkin masih ingat bagaimana Rahim bersusah payah mengikuti romobogan Jejak Bahasa membuat penggambaran di Jakarta, Palembang dan Pulau Bangka, Sumatera. Minatnya dalam bidang itu turut dilihat ketika Rahim ikut serta dalam rombongan DBP Cawangan Sarawak mengunjungi Pusat Bahasa di Makassar.  

 

Pada satu petang Rahim tiba di Jakarta untuk mendampingi tim penggambaran Jejak Bahasa yang sedang membuat penggambaran di Ibukota Indonesia itu. Ketibaannya mungkin ada kaitannya dengan keinginannya untuk meniupkan semangat kepada setiap sebelas anggota tim penggambaran dan penyelidikan kerana mereka telah berada di negara jiran itu sejak sembilan hari lalu. Rahim dijadwal turut sama meninjau keadaan di tempat lokasi sambil melihat cara penggambaran dijalankan. Penggambaran akan diadakan di sebuah rumah Batawi untuk melihat seni akiteknya. Tidak siapa menduga bahawa Rahim, seorang politik, begitu berminat melihat rumah tradisi orang Betawi. Menilai struktur rumah adalah tugas seorang akitek bukan tokoh politik seperti Rahim.

 

Namun sepanjang setengah hari berada di rumah itu, Rahimlah yang banyak bertanya kepada pemilik rumah, yang berasal dari Palembang tetapi telah menetap puluhan tahun di Jakarta. Oleh kerana pagi itu kegiatan lebih tertumpu kepada penggambaran, maka banyak pertanyaan Rahim tidak dapat dijawab sepenuhnya oleh tuan rumah. Rahim pula tidak menolak hajat pengarah Jejak Bahasa, Zailan Abd. Rahman untuk “berlakon” beberapa saat sebagai tamu rumah Betawi.

 

Jarang sangat pengerusi DBP bergaul mesra dengan pakar bahasa dan sastera, terutama yang dikaitkan dengan kerjasama kebudayaan serantau. Namun Abd. Rahim tidak melepaskan peluang menghadiri sepenuh masa Persidangan Mabbim, Mastera dan Fokeps di Johor Bahru, 15 Mac 2001 lalu. Fokeps adik bongsu kepada Mabbim dan Mastera direalisasikan di Johor. Fokeps adalah kependekan  kepada Forum Kerjasama Penerbitan Serantau yang telah lama diilhamkan melalui satu memorandum persefahaman yang dijalin antanra DBP dengan Balai Pustaka. Memorandum yang ditandatangani pada 21 Ogos 1995 berintikan kerjasama dalam bidang penerbitan antara DBP dengan Balai Pustaka.

 

Pertemuan DBP dengan Balai Pustaka  di Jakarta 7 Februarai 2001 yang lalu menyuntik semangat baru dalam bidang kerjsama ini. Langkah awal ditandai dengan merasmikan penubuhan Fokeps di Johor Bahru, sempena sidang Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

 

Abd. Rahim ketika merasmikan Fokeps mengimbaskan kembali sejarah kerjasama ini sejak memorandum persefahaman ditandatangani. Abd. Rahim difahamkan bahawa pernah ada usha untuk menubuhkan persatuan penerbit peringkat Asia Tenggara tetapi tidak berjaya. Katanya, “Mungkin dalam bentuk forum yang tidak begitu terikat dengan struktur yang terlalu formal usaha untuk mewujudkan jaringan kerjasama penerbitna serantau ini akan lebih berjaya.”

 

Asas keyakinan Abd. Rahim ini mungkin berputik daripada  banyaknya jumlah kedai buku di Malaysia yang menjual buku-buku terbitan Indonesia sejak zaman perjuangan merebut kemerdekaan lagi. Bahkan nama-nama besar dalam bidang persuratan di Indonesia seperti Hamka, Sutan Takdir Alishahbana, Marah Rosli, Pramodya Annta Toer dan sebagainya tidak asing bagi penulis Malaysia. Katanya, “Karya mereka dikaji dan dijadikan contoh oleh penulis muda Malaysia yang akhirnya menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura.”

 

Menurut Abd. Rahim lagi setelah negara-negara berbahasa Melayu mencapai kemerdekaan dan sedang memasuki zaman perkembangan teknologi maklumat, masih belum ada upaya untuk mengatasi masalah lalu lintas buku di kalangan negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu. Katanya, “Dalam hubugan inilah saya menyokong penubuhan forum ini.”

 

Walaupun pandangan Abd. Rahim bukanlah perkara baru, terutama yang menyangkut lalu lintas buku antara negara, namun sejak tahun 1970an lagi pelaksanaan kerjasama penerbitan masih belum dilakukan, baik dengan Indonesia, mahupun Negara Brunei Darussalam atau Singapura. Pengalaman DBP menubuhkan galeri buku di Jakarta ibarat menelan pil pahit sehingga galeri yang terletak di Jalan Kwitang itu ditutup begitu sahaja.

 

Memang benar badan-badan penerbit di Indonesia seperti Balai Pustaka mendukung kerjasama penerbitan, malah Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) melalui ketuanya, Arselan Harahap menganggap kerjasama dalam bidang ini adalah “selaras dengan rangkaian kerjasama yang sedia ada seperti kerjasama dalam pengembangan bahasa Melayu melalui Mabbim dan kerjsama kesusasteraan melalui Mastera.” Sehingga dengan demikian “Ikapi mendukung gagasan kerjasama dalam bidang penerbitan berbahasa Melayu untuk mengembangkan bahasa dan sastera Indonesia-Malaysia.”

 

Abd. Rahim bersedia mendengar masalah yang menghalang kerjasama penerbitan serantau itu. Barangkali dia berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Arselan bahawa ketimpangan kerjasama itu bukan disebabkan larangan tetapi lebih disebabkan buku terbitan Malaysia tidak mempunyai pasaran di negaranya. Ertinya buku-buku Malaysia kurang mendapat sambutan di kalangan rakyat Indonesia. Kata Arselan, “Kalau buku-buku itu memang memiliki pasar, maka di Indonesia sudah lama terlihat edisi bajakannya (cetak rompak). Tapi sampai sekarang belum pernah ada laporan mengenai pembajakan buku-buku berbahasa Malaysia di Indonesia.”

 

Abd. Rahim terpaksa bergegas pulang sebaik sahaja membuka rasmi persidangan Fokeps yang pertama itu. Namun diyakini dia ingin terlibat dalam perbincangan mengingat minatnya dalam bidang penerbitan telah lama tertanam, sejak dia dilantik pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Dan dia sepatutnya mendengar keluhan penerbit Malaysia apabila dikaitkan dengan masalah lalu lintas buku antara kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia. Ada yang berkata, “Masalahnya sekarang ialah antara telur dan ayam. Mana dulu yang diperlukan ayam atau telur? Bagaimana mahu melihat buku cetak rompak, masuk ke Indonesia juga perlu macam-macam peraturan. Dan lagi apakah sudah dibuat penyelidikan tentang sambutan orang ramai di Medan atau di kota-kota besar lainnya di Sumatera.”

 

Mesej yang ingin disampaikan penerbit Malaysia ini jelas. Sumatera lebih dekat dengan Malaysia dari sudut budaya dan tutur katanya. Malah di Riau bahasa yang digunakan lebih dekat dengan Malaysia. Minat dan kehidupannya lebih mirip kepada Malaysia. Bukan tidak mungkin buku-buku dari Malaysia akan mendapat sambutan lebih baik berbanding jika buku itu dipasarkan di Jakarta atau Pulau Jawa. Jika 10% sahaja penduduk di Pulau Sumatera yang mampu membeli buku, adalah dijangkakan buku-buku terbitan Malaysia akan mempunyai potensi pasaran yang lebih berbanding di Malaysia sendiri.

 

Pengalaman sebuah penerbit multinasional yang beroperasi di Malaysia tahun 80an dahulu seperti membenarkan pandangan penerbit ini. Pada dekad itu penerbit multinasional ini cuba memasarkan buku terbitannya di Medan. Pegawai pemasarannya memmpunyai hubungan baik dengan sebuah kedai buku di ibukota Sumatera Utara itu. Setiap bulan pegawai ini memantau penjualan bukunya. Setiap kali ke Medan dia akan membawa beberapa judul baru setiap judul hingga 10 naskah. Kurang pasti bagaina dia boleh melepasi halangan masuk ke negeri itu.

 

Semua judul buku yang dibawanya habis terjual. Cuma masalahnya pemilik kedai buku enggan menyerahkan wang hasil jualannya setelah ditolak diskaun. Jika mahu, kata pemilik kedai itu, bawa pulang naskah buku Indonesia dalam pelbagai judul. Ertinya buku dijual secara sistem tukar barang atau kontra. Akhirnya transaksi antara penerbit Malaysia dengan pemilik kedai buku di Medan itu terhenti begitu sahaja. Yang mahu ditekankan ialah bahawa ada pasaran untuk buku terbitan Malaysia. Hanya yang perlu diatasi ialah mencari pasaran di mana buku ini boleh dijual.

 

Wakil Indonesia dalam forum ini tidak menolak kemungkiinan untuk mengadakan kerjasama dalam bentuk cetak semula atau adaptasi  untuk buku Malaysia di Indonesia. Sepertti katanya yang perlu dilakukan lebih awal ialah “mengenal pasti pasar, terutama pasar bagi buku-buku kemahiran praktis, pengetahuan umum dan bacaan-bacaan popular. Dan diumumkan secara rasmi dalam sidang Fokeps ini bahawa buku-buku pelajaran, agama dan yang ada kaitannya dengan al-Quran dari Malaysia tidak lagi dilarang masuk ke Indonesia.

 

Hasrom Harom yang mewakili penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia punya pandangan lain ketika ditanyakan tentang masalah lalu lintas buku ke Indonesia. Menurutnya sejak sekian lama buku-buku terbitannya tidak mengalami masalah masuk ke negara jiran itu. Pernah, katanya dia membawa masuk beberapa judul buku ke Jakarta tetapi tidak ada hambatan. Tidak pula dinyatakan jumlah naskhah atau jumlah judul yang dibawa masuk. Pandangan Hasrom ini berbeza dengan pandangan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad. Datuk Hassan meragui kemampuan kerjasama penerbitan ini berjalan lancar pada peringkat awal. “Susah,” katanya, “Tapi tak tahulah. Kita lihat nanti.”

 

 

 

Katanya, “Nama Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia atau MABBIM dan Majlis Sastera Asia Tenggara atau Mastera secara tidak langsung memperakukan bahawa bahasa Melayu itu sudah begitu identik dengan bangsa-bangsa di keempat-empat negara di Asia Tenggara malah nama Mastera itu sendiri telah menyatukan jiwa dan semangat Melayu di kalangan empat negara.”

 

Bagaimanapun Abd. Rahim melihat unsur kerjasama penerbitan itu serantau itu selari dengan kerjasama yang telah mentradisi dalam bidang kebahasaan dan kesasteraan. Ketika berucap dalam majlis perasmian sidang Mabbim dan Mastera 12 Mac. Abd. Rahim mencadangkan keperluan menyelaraskan sistem bahasa di kalangan “umat negara-negara berbahasa Melayu  yang hampir mencecah 300 juta orang.”

 

Menurut Abd. Rahim, “Dengan adanya sistem bahasa yang relatif seragam bagi satu rantau, walaupun tidak  mungkin, malah memang tidak perlu seratus peratus seragam, pelbagai kerjasama dapat dilakukan dan hasilnya pasti mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Sebagai contoh yang jelas, dengan adanya penyelarasan sistem ejaan rumi dan peristilahan antara negara-mnegara berbahasa Melayu, komunikasi dalam bidang ilmu dan maklumat menjadi demikian lancarnya sehingga rakyat di setiap negara berbahasa Melayu dapat saling memanfaatkan ilmu yang dikembangkan di negara jirannya. Gagasan perkongsian pintar seumpama inilah yang dapat menjadi asas kukuh bagi pembinaan semula peradaban atau tamadun besar di rantau ini dengan bertunjangkan bahasa Melayu.”

 

Ketua Pengarah DBP, Haji Aziz Deraman melengkapi ucapan Abd. Rahim dengan menekankan bahawa bahasa Melayu dari segi tafsiran dan kosenpnya telah dipersetujui oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu sebagai bahasa yang supranasional yang digunakan dengan meluasnya dalam kehidupan penduduk di Alam Melayu, sejak zaman awal tanpa mengira batas politik. Maknanya, bahasa Indonesia, bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu Brunei serta Singapura itu cuma merupakan variasi bahasa sahaja. Di dalamnya juga sudah terangkum apa jua hasil tulisan, kepustakaan, karya kreatif atau bukan kreatif, dan sebagainya dalam bahasa Melayu.”

 

Buah fikir Abd. Rahim dan Haji Aziz itu ditunjangi pula oleh pandangan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman ketika merasmikan sidang. Katanya, “Sudah menjadi bukti bahwa kebangkitan kuasa politik dan ekonomi bangsa Melayu di rantau ini, turut berasaskan kekuatan dan persuratannya. Bahasa Melayu dalam tempoh yang  cukup panjang, telah menjadi lingua franka untuk pelbagai keturunan di pusat-pusat tamadun Melayu….ketika itu, bahasa Melayu yang secara relatif seragam itu jugalah yang menjadi wahana mengungkap segala peraturan dan undang-undang serta menjadi bahasa pentadbiran dan perhubungan diplomatik antgarabangsa di antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing seperti Belanda dan Inggeris.”

 

Dan bagi Abd. Ghani, walaupun tidak dapat dielakkan wujudnya  kepelbagaian di alam Melayu yang terutamanya disebabkan oleh pengaruh setempat tetapi asas-asas keseragaman dalam ejaan, istilah, sebutan, kosa kata dan laras bahasanya “amat penting bagi aktiviti komunikasi rasmi dalam pengajian, pendidikan dan media massa.” Tentunya yang diinginkan Ghani ialah suatu hari nanti keseragaman dalam berbahasa di alam Melayu, tanpa sempadan politik, akan menguasai peradaban bangsa yang dinamakan Melayu. Kalau mampu keseragaman yang bernama bahasa Melayu itu akan sekali lagi menjadi pengikat utama rumpun Melayu, setidak-tidaknya dilihat dari sudut kebudayaan. Ucapan Abd. Rahim, Hj Abd. Aziz dan Ghani itu paling-paling mengharukan kebanyakan peserta terutama dua peserta Indonesia, iaitu Daeng dan Ikram yang kemudian meluahkan semangat dan emosinya tentang bahasa yang mereka namakan “Melayu” itu.

 

Maka amatlah jelas bahawa Abd. Rahim, mantan menteri besar dan Abd. Ghani Menteri Besar Johor merupakan dua tokoh politik dari UMNO yang sedar akan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu dalam hubungan kerjasama serantau. Bahasa Melayu adalah perantara dan pengikat utama bangsa-bangsa serantau, khususnya Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam. Barangkali ketika berada bersama-sama peserta dalam sidang Mabbim, Mastera dan Fokeps di Johor Bahru, itu Abd. Rahim teringatkan semangat Melayunya semasa menjadi pegawai kerajaan dan akhirnya menteri besar di Pahang suatu waktu dahulu. Semangatnya adalah sama Cuma genre perjuangannya agak berbeza. Yang satu politik dan ekonomi orang Melayu dan satu lagu bahasa, sastera dan kebudayaan.

 

Tiba-tiba Abd. Rahim bagaikan telah jatuh cinta kepada perjuangan meningkatkan bahasa, sastera dan budaya. Diyakini pergaulan sejak mula menjadi pengerusi 14 tahun yang lalu, membentuk pemikiran baru dalam bidang yang satu ketika begitu asing baginya. Kejujuran pemikirannya ini dapat dilihat ketika dia turut sama dalam rombongan Jejak Bahasa di Palembang dan Bangka pada Februari 2001 lalu. Jejak Bahasa merupakan sebuah program TV yang dikendalikan DBP dengan kerjasama TV3. 

 

Pada 13 Februari, Abd. Rahim Bakar tiba Palembang. Dia akan bersama-sama rombongan untuk ke Pulau Bangka bagi meneruskan penggambaran. Pada sebelah malamnya, diadakan jamuan “membalas budi” untuk meraikan semua anggota pembantu penggambaran yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan propinsi Palembang. Seperti biasa di majlis seumpama itu Abd. Rahim menjelaskan tujuan program Jejak Bahasa dan matlamat DBP untuk membina dan mengembangan bahasa dan sastera. Dia tidak lupa mengucapkan rasa terhutang budi dan rasa terima kasih atas bantuan dan kerjsama yang diberikan oleh semua yang terlibat di Palembang sehingga penggambaran berjalan dengan baik.

 

Inilah kali pertama Abd. Rahim mengunjungi Bangka yang namanya dikaitkan dengan sebuah lagu nyanyian Allahyarham Rahmah Rahmat. Pulau Bangka dikaitkan dengan perusahaan lombong bijih dan banyak terdapat pendudukanya dari kaum Cina. Yang menarik di pulau ini ialah budayanya yang mirip budaya Melayu di kepulauan Riau atau Semenanjung Malaysia. Tujuan ke Bangka ialah untuk menjejaki lokasi Kota kapur yang dikatakan berhampiran dengan ibukota Bangka, Sungai Liat. Kota Kapur ini terletak di Desa Batu Kapur sendiri dalam sebuah ladang getah berhampiran sungai.

 

Minat Abd. Rahim di Kota Kapur berputik daripada kisah yang diceritakan seorang wanita keturunan Cina, mesra dengan panggilan Yuna yang menjadi pemandu. Abd. Rahim turut tekun mendengar kisah misteri Pulau Bangka dengan sejarah Kota kapurnya yang jarang diketahui orang ramai. Menurut Yuna, ada seorang pangeran dari Siantan (ketika itu masih di bawah kerajaan Johor-Riau) yang lari dari daerahnya kerana bimbang akan serangan Portugis. Pangeran ini belayar ke selatan dan akhirnya mendarat di Belinyu di bahagian utara Bangka.  Pangeran dan pengikut-pengikutnya membuat pemukiman baru di kawasan ini. Ada sebahagian daripada pengikutnya mendarat di Mentok.

 

Pangeran kemudian mencari tempat tinggi untuk berasa lebih selamat lalu menetap di Gunung Maras. Beliau mencari ketenangan dengan bertapa di atas gunung itu di samping belajar ilmu kebatinan dengan  guru di tempat pertapaan.  Maka keturunan pangeran ini sampai sekarang pun  masih memanfaatkan ilmu kebatinan yang mereka pusakai turun-temurun. Dan keturunan Pangeran ini yang banyak terdapat di daerah Belinyhu, Mentok dan Gunung Maras masih bertutur dengan menggunakan dialek Johor-Riau. Dan kebanyakan penduduk Bangka-Belitung yang berjumlah kira-kira 800,000 orang itu bertutur dengan dialek Johor-Riau, walaupun ada juga di kawasan Bandar kami mendengar penduduk bertutur dalam bahasa Indonesia dalam loghat orang Perak atau Betawi. 

Dalam perjalanan Abd. Rahim dan rombongan mengalami peristiwa aneh. Salah seorang pemandu rombongan, Hamid dari pejabat pelancongan Bangka menyatakan  beberapa minggu yang lalu Bangka mengalami  cuaca yang sungguh panas. Hamid berasa  hairan tiba-tiba sahaja hujan turun mencurah-curah terutama pada waktu malam beberapa hari kebelakangan ini. Rombongan terus dibawa ke sebuah ladang getah, yang menurut pemandu, adalah lokasi Kota Kapur. Abd. Rahim bertanya kepada salah seorang penduduk kampung bernama Mahathil,  asal usul nama “kapur”. Jawabnya, “kapor”  bererti sejenis agas yang dinamakan kekapur. Oleh kerana banyaknya agas ini di desa itu maka orang kampung menamakan kampung atau desa itu Kota Kapor. Desa Kota Kapor asalnya bernama Desa Semarang. Oleh kerana terdapat banyak batu kapur di daerah itu maka orang kampung menamakannya semula dengan Kota Kapor.

 

Belum pun sempat Mahathil menjelaskan dengan terperinci, tiba-tiba hujan turun lagi dengan lebatnya. Hujan berhenti  dengan tiba-tiba juga ketika anggota-anggota rombongan menaiki van masing-masing untuk berlindung. Sebaik sahaja kami turun semula hujan tiba-tiba turun lagi dengan lebat sehingga memaksa semua anggota rombongan termasuk Abd. Rahim masuk ke van semula. Ini berlaku beberapa kali sehingga rombongan meninggalkan kawasan itu menuju ke rumah ketua kampung. Inilah pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan Abd. Rahim sepanjang kunjungannya ke Bangka.

 

Tiba-tiba ketua kampung menukar fikiran. Katanya lokasi kota kapur itu  adalah di tepi sungai di bawah bukit. Abd. Rahim  dengan tidak menghiraukan hujan  terus menuruni bukit bersama-sama ketua kampung  dan dua orang pegawai pelancongan.  Sebentar kemudian mereka muncul semula dan masih berpayung kerana hujan masih turun.

 

Kata Abd. Rahim, “ Ada lagi sungai kecil sebelum sampai ke sungai tempat batu bersurat itu. Oleh kerana pegawai pelancongan tak mahu menyeberang dan tak mahu tanggal kasut, kami tak jadi ke sana.”  Pengarah program Jejak Bahasa dari TV3, Mohd. Zailan Abd. Rahman  meminta penjelasan Mahathil lagi tentang lokasi sebenar letak prasasti ketika ditemui. Ketua kampung membawa rombongan ke satu tempat lagi yang menampakkan laut luas Semasa berkenderaan ke lokasi hujan tiba-tiba berhenti. Ketika berada di satu tanah lapang berdekatan dengan curam bukit dan sebaik sahaja rombongan turun dari kenderaan hujan turun semula dengan lebatnya. Sekali lagi mereka bergegas masuk ke dalam kenderaan.

 

Abd. Rahim cuba mendekati curam bukit melihat laut yang terbentang luas dengan berpayung. Setelah beberapa saat dia kembali masuk kenderaan dan membatalkan niat untuk mengadakan penggambaran. Hujan berhenti semula sebaik sahaja kenderaan bergerak menuju Desa Kota Kapor  semula. Oleh kerana jalan becak dan dipenuhi air, dua daripada kenderaan rombongan terpaksa ditolak beramai-ramai kerana  kedua-dua tayar belakangnya terperosok ke dalam genangan air yang dalam.

 

Esoknya apabila misteri hujan itu diceritakan kepada Yuna, dia hanya  tersenyum dan menjelaskan kisah seorang  pangeran dari Siantan yang datang menetap di  Bangka. Katanya, “ Bapak-bapak semua perlu sopan dan ramah ketika berbicara dengan orang-orang kampung. Hanya dengan asap rokok  bapak-bapak boleh hidup merana, hidup segan mati tak mahu.”  Yuna yakin misteri hujan di Kota Kapor itu adalah disebabkan ada di kalangan anggota rombongan yang mempunyai niat yang tidak ikhlas apabila berkunjung ke desa yang dianggapnya masih mempunyai misteri Kota Kapornya. Katanya lagi, “Itu baru misteri hujan Kota kapur sebenarnya masih lagi mahu bermesra dengan bapak-bapak.”  Tidak pasti apakah Abd. Rahim “termakan” dengan cerita Yuna demikian namun pengalaman di lokasi Kota Kapur itu akan terakam lama dalam kenangannya.

 

Abd. Rahim melahirkan rasa kurang senang tentang “treatment” penggambaran di Pulau Bangka, terutama di lokasi Batu Kapur. Dia kecewa kerana tidak ada rakaman penting dibuat terutama di lokasi prasasti tua Kota Kapur. Walaupun ada permintaan penggambaran dilakukan di kawasan kebun getah yang menempatkan prasasti itu, namun Mohd Zailan keberatan. Katanya tidak ada yang penting yang boleh dirakamkan. Pada pagi esoknya ketika bersarapan  Abd. Rahim mengadakan perbincangan dengan Mohd. Zailan dan ternyata dia tidak berpuas hati dengan penjelasan Mohd. Zailan. Nyatanya Abd. Rahim benar-benar marah dengan cara penggambaran di Bangka. Kemarahannya mungkin berpunca daripada kekecewaannya untuk melihat rakaman penting dibuat setelah jauh-jauh datang , khusus untuk melihat sendiri daerah Kota Kapur.

 

Kebersamaan Abd. Rahim dengan program Jejak Bahasa episod Bangka dan Palembang ini menunjukkan dia begitu komited untuk melihat yang terbaik. Namun dia “lemas” dengan sikap tidak prihatin sesetengah anggota rombongan yang terlalu menekankan bukti zahir daripada bukti sejarah, seperti yang diminta Mohd. Zailan. Rasanya jarang sangat dia berjumpa dengan seseorang yang tidak peka sejarah seperti Mohd. Zailan. Malah hasil kerja di Bangka tidak berbaloi berbanding kos  untuk berkunjung ke sana selama tiga hari. Inilah yang difikirkan Abd. Rahim sebagai orang yang begitu prihatin tentang hal-hal kewangan.

 

Namun demikian kemesraan yang ditunjukkan Abd. Rahim selama bermukim di Pulau Bangka tidak berkurangan. Dia bergaul dan bersembang dengan setiap anggota rombongan dan ada yang merasa bahawa Abd. Rahim sebagai seorang ketua yang bersikap penyayang dan bersahabat. Dia masih berterus terang dan “straight forward”, dan tidak pendendam. Ini diakui oleh anggota rombongan dari TV3. Dia orang politik dan dia juga orang koporat dan kini dia seorang kawan yang boleh dibawa berunding. Tidak pernah walau sesaat pun Abd. Rahim menjarakkan dirinya dengan anggota rombongan seolah-olah dia bukan pengerusi DBP ketika itu.

 

Abd. Rahim bagaikan telah meninggalkan peraturan protokol dan lupa dirinya siapa ketika berteduh di rumah seorang kampung berhampiran dengan lokasi Kota kapur. Dia bersama-sama beberapa anggota duduk bertenggong di pintu rumah sementara menunggu hujan teduh. Dia juga sama-sama berlari ke belakang rumah untuk sama-sama makan durian yang disediakan tuan rumah. Pembawaan Abd. Rahim yang benar-benar “turun ke bawah” sama-sama menghadapi suka-duka dan sepak terajang permasalahan yang dialami orang bawahannya menjadi faktor dominan mengapa Abd. Rahim kekal lama di DBP. Tidak ada lagi sungutan kakitangan DBP bahawa Abd. Rahim selalu sahaja berada di DBP bagaikan sedang bertugas sepenuh masa. Bukan hanya itu, Abd. Rahim terlihat di mana sahaja ada kegiatan sastera dan bahasa anjuran DBP, di dalam dan luar negeri. Bagaikan bidang bahasa, sastera dan budaya telah mendarah daging dalam dirinya. 

 

 

One Response “ANWAR IBRHIM, RAHIM BAKAR DAN DEWAN BAHASA” →
  1. No it doesn’t need any of that it just uploads static webpages.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: