Bercakap Tentang Dunia Buku Bung Karim Abdullah

DUNIA DOKUMENTASI KARIM ABDULLAH

Khamis lalu, terima surat dari Haji A. Karim Abrullah, mesra dengan panggilan Bung Karim. Bersama surat itu disertakan dua buah buku kecil, “Pameran Buku Riwayat Hidup Dan Sirah Rasulullah S.A.W.” dan “Bung Karim Penyelenggara dan Pendokumentor Sastera”. Menraiknya, kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Bung Karim Entreprise. Kandungan kedua-dua buku ini mirip autobiografis. Maksudnya banyak menyentuh tentang Bung Karim sendiri yang ditulis secara kronologis dan bibliografis.

Kedua-dua buku ini diusahakan berdasarkan koleksi peribadi Bung Karim sendiri. Namun setelah mengimbas lalu kedua-dua buku berkenaan, didapati maklumat yang diberikan menjangkau lebih jauh daripada sekadar dokumentasi tentang “peribadi” Bung Karim. Maklumat yang ada secara tak langsung melibatkan sejarah perjuangan beberapa tokoh tertentu, khasnya dari Pahang. Maklumat juga melibatkan sejarah Gapena dan Dewan Persuratan Melayu Pahang. Maklumat juga melibatkan hubungan intim Bung karim dengan Pak Sako, Keris Mas, Zakaria Hitam dan A. Samad Ismail.

Contohnya, terdapat pelbagai buku tentang Pak Sako dan Keris Mas yang telah diterbitkan yang melibatkan Bung karim sebagai penyelenggara. Pada tahun 1987, terbit buku “Cerpen-Cerpen pak Sako yang diselenggarakan Bung Karim bersama Hashim Awang. Ada pula “Pak Sako Bistari” yang diterbitkan setahun kemudian. Sembilan tahun kemudian Bung Karim menyusun pula buku “Pak Sako dari Sudut Pandangan Pak Samad”. Setahun sebelumnya lahir buku “Memori Pak Sako”. Mulai milineium baru ini Bung Karim akan menyelenggarakan penerbitan beberapa buah lagi buku tentang Pak Sako, antaranya “Pak Sako Sasterawan Rakyat”, “karya Klasik Putera Gunung Tahan Dari Pandangan Pemimpin dan Tokoh-Tokoh dari Pahang Darul makmur” dan “Moostapir Monolog – Cerpen-cerpen lain Pak Sako”.

Untuk Keris Mas, Bung Karim menyelenggarakan “Mutiara Fikir SN Keris Mas” pada tahun 1997 dan pada tahun ini Bung Karim akan menerbitkan “SN Keris Mas: Dari Tanggapan Tokoh & Sarjana”. Buku ini diselenggarakan bersama A. Rahim Abdullah. Sebuah lagi buku selenggaraannya yang bakal terbit ialah “Keris Mas – Sasterawan Nasionalis.” Malah untuk tokoh Awam-il-Sarkam, Bung Karim (sebagai kawan karib barangkali) telah mengusahakan bersama Mawar Shafie buku antologi cerpennya berjudul “pengintipan” yang juga bakal terbit tahun ini.

Selain Pak Sako dan Keris Mas ada lagi beberapa tokoh Pahang yang kisah perjuangannya dan sumbangan mereka diselenggara, diterbit dan didokumentasikan. Bung Karim menyelenggarakan buku tentang pemikiran Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang diberi judul Pemikiran Tun Razak Tentang Bahasa-Sastera-Budaya.” Ada pula buku tentang “Zakaria Hitam, Pak Zek Budayawan yang Berjaya”, “Koleksi Pantun Pak Zek”. Buku “Ibrahim Yaakub-Pencetus semangat Kebangsaan Melayu” telah diselenggarakan Bung Karim dan dijangka terbit pada tahun ini.

Bagi yang mengenali Bung Karim lebih dekat, dokumentasi di rumah Bung Karim cukup lengkap. Jarang amat diperoleh maklumat dan dokumentasi selengkap dan seterpeinci yang dimiliki Bung Karim. Seorang teman yang rapat dengannya pernah berkata “Bung Karim bukan sahaja menyimpan maklumat tetapi menerbitkannya sekali, baik oleh institusi penerbitan mahupun olehnya sendiri.” Seorang penulis pernah menganggap Bung Karim sebagai “pendokumentor yang gigih” manakala majalah ‘Karya” terbitan 25 Oktober 1997 menganggap Bung Karim “mengikuti Jejak H.B. Jassin” dari Indonesia yang bahan dokumentasinya memenuhi setiap inci ruang rumahnya.

Demikianlah, Bung Karim yang punya minat menyimpan dan menerbit semua bahan persuratan yang ada kaitannya dengan bahasa, sastera dan budaya. Tidak keterlalun jika Bung Karim boleh dianggap sinonim dengan H.B. Jassin. Ini diakui oleh Dino SS sendiri dalam Berita Minggu pada tahun 1993. Kalau di Indonesia semua orang maklum tentang kehadiran H.B.Jassin di persada persuratan negara itu. Dan mungkin di Malaysia semua maklum akan kehadiran nama Bung Karim di persada persuratannya pula. Ketika di rumah Bung Karim sebulan yang lalu, saya melihat buku dan bahan-bahan persuratan berada di mana-mana. Di Ruang tamu, di meja makannya dan saya boleh teka bahawa ada buku di katil tempat tidurnya. Beberapa buah buku agama terssusun di satu sudut. Menurutnya, jumlah koleksi buku agama sahaja lebih 150 judul.

Nama Bung Karim mula saya kenal ketika dia menjadi juruacara Majalah TV, terbitan Televisyen Malaysia pada akhir tahun 60an. Dia pernah dilihat di kaca TV sebagai “pembaca warta berita” dan sesekali berlakon dalam drama TV. Saya diperkenalkan orangnya oleh Usman Awang pada 7 September tahun 1972. Ketika itu saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Keakraban mula dirasakan apabila saya menyertainya dan Awam-il-Sarkam (Pak Awam a.k.a Wahab Muhamad) sebagai anggota sidang pengarang majalah “Dewan Masyarakat”. Ketua editor “Dewan Masyarakat” ketika itu Keris Mas dan editornya Usman Awang.

Bekerja dengan Bung Karim banyak manfaatnya. Paling-paling Bung Karim boleh bantu meringankan beban tugas terutama untuk tujuan “menyemak fakta”. Bung Karim amat gemar mencari dan mengumpul bahan. Di atas mejanya dipenuhi dengan pelbagai bahan editorial. Yang sedang digunakan dan yang tidak digunakan. Ada sesetangah bahan itu sudah “kotai” dan dimakan zaman, namun ia tetap dibenahi Bung Karim sebagai bahan dokumentasi berguna pada masa akan datang. Bukan tidak mungkin sesetangah daripada bahan itu masih ada di rumahnya ketika ini.

Bung Karim adalah orangnya yang diminta Usman Awang menemani saya dalam pertemuan “sukar” dengan pemimpin-pemimpin persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia di kampus UKM di Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 1974. Pertemuan kami dengan persatuan mahasiswa itu adalah ekoran daripada sebuah makalah yang mempersoalkan tahap penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar UKM. Makalah itu mendapat reaksi dan bantahan keras dari mahasiswa dan penulisnya diminta berdepan dengan pemimpin persatuan. Antara pemimpin mahasiswa yang kami temui ialah Shafie Abu Bakar (sekarang adun PAS di Selangor), Asiah Sarji dan Halim Arshat. Berkat bantuan Bung Karim, masalah itu dapat diselesaikan dengan baik. Kami bersetuju untuk menyiarkan reaksi persatuan kepada makalah itu dalam “Dewan Masyarakat” edisi beriktunya.

Saya menganggap Bung Karim merupakan “orang tengah” yang berwibawa dalam menyelesaikan masalah prasangka pemimpin mahasiswa UKM itu terhadap saya, sebagai penulis makalah. Ada ketikanya apabila saya tanyakan sesuatu kepada rakan setugas Pak Awam, lantas Pak Awam meminta saya jumpa Bung Karim. “Kau tanya aku buat apa. Tanyalah karim. Dia lebih tahu dari aku,” katanya. Dua hari lalu, Saleh Daud Bendahari Gapena sedikit “geram” dengan “Dewan Sastera” keluaran terbaru dan menyebut nama Bung Karim. Katanya ada penulis yang masih tidak tahu mengeja namanya dengan betul. Sepatutnya editirnya lebih bertanggung jawab. “Dia orang boleh tanyakan Karim Abdullah untuk pastikan ejaan nama yang betul, kalau tak dapat saya.”

Bung Karim lebih banyak tahu “dari aku”, malah lebih tepat Bung karim lebih banyak tahu dari kebanyakan orang. Terutama hal-hal yang menyangkut masalah bahasa, sastera dan kebudayaan. Bung Karim tidak segan mendampingi ramai tokoh masyarakat. Dan adan yang menganggap rasa tidak segan Bung Karim inilah yang menjadikannya begitu gigih dan berminat dalam kegiatan pendokumentasian ini. Bung Karim bagaikan sedang bercinta dengan tokoh dan perwatakan tokoh itu. Bung Karim melahirkan rasa sentimen dan emosi yang tinggi apabila berdepan dengan tokoh sehingga dengan demikian Bung Karim akan menyimpan apa sahaja yang diperolehinya atau yang diberikan kepadanya.

Begitulah. Dengan tokoh wartawan A. Samad Ismail, Bung Karim menyimpan segala sesuatu yang ditulis wartawan veteran itu. A. Samad Ismail tidak punya salinan tetapi Bung Karim punya. Pada tahun 1997 Bung karim berjaya menyelenggarakan buku “Antara Pemikiran A.Samad Ismail” dan tidak lama lagi bakal terbit pula dua buku baru selenggaraan Bung Karim tentang Samad yang berjudul “A. Samad Ismail – Pejuang Multiwarna” dan “Dialog Dengan A. Samad Ismail”. Satu dekad sebelum ini Bung Karim meneyelenggarakan buku “A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan”.

Kelebihan Bung Karim sebagai penyimpan bahan dokumentasi ialah keinginannya untuk tidak dianggap sebagai hanya “tukang simpan bahan”. Bung Karim ingin bahan-bahan itu disusun dan diterbitkan. Pernah katanya, “Saya akan cuba mendapatkan penajaan untuk menerbitkan. Kalau tidak duit, saya sendiri akan terbitkan setakat yang termampu.” Ada 18 buah judul yang telah diselenggarakan dan dalam proses mahu menerbitkannya. Saya membayangkan jika kessemua 18 judul ini mahu diterbitkan tahun ini, Bung karim memerlukan sekurang-kurangnya RM180,000.00 dengan andaian kos menerbitkan sebuah judul berjumlah RM10,000.00. Dan dengan harga bahan cetakan yang meningkat hari ini Bung Kartim memerlukan lebih suku juta ringgit.

Harapan Bung Karim terlalu besar. Pemikirannya tentang pendokumentasian terlalu ideal. Bung karim hanya insan biasa yang tidak akan termampu untuk menyelia dan mengawet bahan dokumentasinya secanggih perpustakaan negara. Namun komitmennya terhadap penyimpanan khazanah persuratan yang berharga ini adalah lebih 100%. Barangkali 150%. Manakala kemampuannya dari segi material (kewangan) hanya setakat 30%. Soalnya bagaimanakah Bung karim boleh menyelesaikan masalah baki persen yang jauh lebih besar berbanding kemampuannya?

Ada ura-ura Bung Karim ingin menyerahkan sebahagian besar bahan dokumentasinya kepada institusi pendidikan tinggi atau perpustakaan. Andainya ini berlaku apakah nanti status Bung karim sebagai penyelenggara dan pendokumentor sastera? Apakah rumahnya di No. 73, Jalan Datuk Aziz 14/29, Petaling Jaya itu akan “sepi” daripada bahan-bahan yang sejak hampir empat dekat yang lalu dikumpulkan dengan begitu komited? Saya tidak dapat mengagak apakah berada dalam fikiran Bung Karim ketika dia hanya didampingi isteri, Aishah Abdullah, dua anaknya Aznul Shahrim dan Azlina dan lima cucunya tanpa buku dan bahan dokumentasi di sekelingnya. Bagi seorang insan penelaah makalah dari kampung Bangau, Temerluh ini yang mencapai usia 63 tahun pada 6 September depan, tentunya Bung Karim akan berdepan dengan suasana “keseorangan” tanpa buku di keliling pinggangnya. 4 Ogos 2000

 

3 Responses “Bercakap Tentang Dunia Buku Bung Karim Abdullah” →
  1. Hargai jasa Bung Karim, zaman dah semakin maju makin susah nak cari maklumat yang “tepat”. Terima kasih buat penulis, artikel ni terperinci betul.

    Saya nak cari artikel & gambar pic pak zek (Allahyarham Dato’ Hj Zakaria Hitam) sampai sekarang tak dapat.

    Reply
  2. Rather entertaining many thanks, I believe your visitors could possibly want significantly more articles similar to this carry on the good work.

    Reply
  3. Nice post at Bercakap Tentang Dunia Buku Bung Karim Abdullah afyassin. I was checking continuously this blog and I am impressed! Very useful information specially the last part🙂 I care for such info much. I was looking for this particular information for a long time. Thank you and good luck.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: