Othman Yatim Menilai Pengukir Silam

Mengukir Kegemilangan Lalu

Oleh A.F.Yassin

Tajuk rencana ini adalah judul buku terbaru yang dihasilkan Profesor Dr. Othman Yatim dari Universiti Malaya dan diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Saya dihadiahkan dengan ikhlas oleh  Othman senaskhah ketika sedang bermesyuarat Jejak Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka awal bulan ini. Selain saya, Prof. Dato’ Dr Asmah Hj Omar turut diberi senaskhah. “Buku terbaru dan masih panas,” kata Othman, walaupun di halaman tajuknya tertulis tahun 2000.

Kami mengucapkan tahniah dua kali kepada Othman. Pertama atas perlantikan sebagai profesor penuh dan kedua berjaya menghasilkan buku biografi  penerima anugerah seni negara 1997, Wan Su Othman dari kelantan. Saya kira penulisan buku ini disiapkan pada tahun 1999 dan mengambil masa agak lama juga diterbitkan. Tidak pasti mengapa prosesnya begitu panjang. Apapun jua seperti kata orang lebih baik terbit lambat daripada tidak terbit langsung.

Kulit buku hasil rekabentuk Rafeah Legino menarik, dengan citra ukiran kayu berbentuk bunga. Di halaman verso tajuk (title verso) antara lain tertulis sejambak nama yang terlibat dalam penerbitan buku ini. Selain Othman, sebagai pengarang,  ada penaung penerbitan Dato’ Tengku Alaudin Abd. Majid, ketika itu Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Ketua Penyelaras Penerbitan, Sharifah Zainah Salim, Penyelaras, Othman Ahmad, Penyunting Habsah Mohd Nordin, Perekabentuk Rafeah Legino dan Jurufoto untuk gambar kulit Abd. Aziz Arshad. Mereka ini adalah warga kerja dari pihak kementerian yang patut disebut namanya dalam buku ini. Walaupun pada amalan lazim, jarang sangat ditemui barisan nama seperti ini dalam mana-mana buku yang diterbitkan. Kalau pun ada selain nama pengarang hanya diselitkan  nama penyunting.

Barangkali barisan nama ini adalah pra-syarat penerbitan yang ditentukan kementerian. Untung juga Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai penerbit kerajaan, seperti halnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan tidak membariskan nama-nama orang yang terlibat dalam penerbitan bukunya. Jika ia berbuat demikian, maka nama Usman Awang, Kamaludin Muhamad M. Noor Azam, Ajikik, Hasrom Haron, Haji Jajuli,  Hajah Izah Aziz, Abdul Ahmad, Othman Ismail, Mazlan Mohd Nor, Hassan Majid, Haji Rahim Rahman, Zalilah Syariff  dan puluhan nama lain di Dewan Bahasa yang terlibat puluhan tahun pula dalam penerbitan buku.

Kandungan buku dibahagikan kepada enam bab utama dengan bab keenam diangkat tajuknya sebagai judul buku. Othman bukan sahaja bercerita tentang kisah hidup Wan Su sejak dia dilahirkan di Pengkalan Kubur, Kelantan pada tahun 1899 sehingga dia menerima Anugerah Seni Negara pda tahun 1997 tetapi juga bercerita tentang faslsafah dan konsep ukiran secara umum. Namun, kisah hidup Wan Su dianggap lebih menarik malah boleh dijadikan tauladan bagi mereka yang meminati seni ukir.

Menurut Othman Wan Su dibesarkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Wan Su adalah anak bongsu daripada  12 adik beradik. Ayahnya, Othman seorang nelayan dan peniaga beras sementara ibunya, Wan Sri  peniaga emas. Sedikit aneh bagaimana Wan Su adik beradik  berada dalam serba kekurangan sedangkan kedua-dua orang tuanya peniaga. Beras dan emas pula.

Wan Su dikatakan mula minat dalam seni ukir ketika berusia lapan tahun. Menurut Othman, sebaik sahaja selesai belajar al-Quran, Wan Su singgah di rumah Pak Imam untuk melihatnya mengukir. Pada suatu ketika Wan Su akan mengutip cebisan kertas lakaran yang dibuang Pak Imam dan membawanya pulang. Kemudian dia menekap kertas itu kepada kayu dan mula mengukir mengikuti lakaran di kertas. Sejak itulah Wan Su mula melukis di kertas dan melukis awan larat di layang-layangnya.

Tidak siapa menyangka minatnya dengan kerja-kerja mengukir Pak Imam menjadikannya tokoh pengukir terkenal dan diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa akhirnya. Wan Su bekerja mencari nafkah sebagai tukang gunting. Melalui kerjaya tukang gunting ini dia menerima tempahan orang ramai membuat ukiran di wau-wau dan pentas orang kahwin. Dia kemudian bekerja membantu sepupunya Wan Abdul Rahman mengukir  pada emas. Dari sinilah namanya mula menanjak sehingga akhirnya dia dipelawa oleh Mobin Sheppard bekerja sebagai juru ukir di Muzium Negara pada 15 Julai 1962 untuk selama tiga tahun.

Pengiktirafan sebagai pengukir terbukti apabila dia banyak menang pertandingan wau cantik peringkat kebangsaan  di Kota Bahru (1974), Kuala Terengganu (1975), Sungai Petani (1976), Kuantan (1978 dan Pulau Pinang (1979). Pak Su menjadikan alam sekitaran sebagai sumber motif ukirannya. Tumbuh-tumbuhan yang melata di kelilingnya adalah ilham dan inspirasi untuk motif-motifnya, antaranya ketola, peria, saga kenering, daun salad, bunga lawang, bunga raya, bunga cina. Dia mengangkat bahan-bahan tumbuhan ini sebagai objek lakaran kerana jasa tumbuhan itu kepada manusia. Ada tumbuhan yang menjadi makanan manusia; banyak pula yang boleh dibuat ubat dan penawar racun. Tidak kurang pula kehadiran tumbuhan itu mencipta keindahan pada ruang, alam sekitar dan dimensi minda manusia.

Terdapat 65 buah ilustrasi dan gambar yang berkait dengan seni ukir dilampirkan dalam buku setebal 120 muka surat ini. Juga terlampir 30 motif  bunga yang dihasilkan Wan Su. Ada pula glosari, berupa penjelasan 21 jenis motif yang pengertiannya amat bermanfaat sebagai rujukan. Antara jenis motif itu termasuk Badak Mudik, Itik Pulang Petang, Kelarai, Kepala Cicak, Pilin Berganda, Sibar Dayang dan Siku Keluang.

Beberapa bab buku ini ditulis secara kreatif. Maksudnya pendekatan  kreatif dibaurkan dengan pendekatan naratif-deskriptif untuk membentuk kesatuan tulisan. Tujuannya memberi impak emosi yang lebih mengesankan. Dialog antara watak-watak hidup (real) digunakan. Misalnya,  percakapan antara Wan Su dengan Mobin Sheppard (ms 35-37) atau dialog Wan Su dengan Wan Gorek (ms 16-17). Kurang pasti apakah ia merupakan dialog-dialog sebenar yang dirakamkan pengarang ketika mengadakan pertemuan dengan watak-watak itu? Atau ia cuma imaginasi pengarang. Bukan tidak mungkin pembaca akan mempersoalkan autentisiti dialog ini.

Pendekatan penulisan biografi yang menggunakan dialog seperti ini banyak terdapat dalam buku-buku biografi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Malah pendekatan dialog ini juga banyak digunakan dalam buku-buku biografi karangan orang Barat seperti yang terdapat dalam buku biografi Virginia Woolf: A Writer’s Life karya Lyndall Gordon atau Tun Jugah of Sarawak karya Vinson H. Sutlive Jr. Hanya sahaja, dialog yang digunakan Gordon dan Sutlive adalah autentik dalam erti dialog berkenaan memangnya dituturkan oleh wataknya.

Apappun jua, Othman melalui bukunya ini, berusaha memperlihatkan ketokohan Wan Su dalam bidang seni ukir yang tiada bandingannya. Setelah habis membaca buku ini kita barangkali akan terfikir: Kalaulah Wan Su ditakdirkan hidup pada zaman kerajaan Melaka abad ke-15, nescaya dia akan dicemburui pengukir-pengukir istana yang pada waktu itu kebanyakannya didatangkan dari sebuah kawasan yang bernama Kundur. Tidak kiralah sama ada Kundur itu berada di Negeri Sembilan atau di Riau Lautan (Pulau Kundur).

Othman, yang lahir pada 6 Disember 1949, bukan  orang baru dalam dunia penulisan. Termasuk buku Mengukir Kegemilangan Silam dia telah menghasilkan 15 buah buku yang berkait dengan seni dan budaya. Anak kelahiran Kampung Teluk, Lumut, Perak ini mempunyai kelulusan di peringkat doktor falsafah dalam bidang kesenian Islam dari University of Durham, England.

Antara buku-bukunya yang menarik untuk dibaca ialah Batu Aceh: Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia, Warisan Dalam Kesenian Tamadun Islam, Islamic Art dan Meriam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Nusantara. Bukunya Batu Aceh itu mengingatkan saya kepada buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor (510 ms) yang ditulis oleh Daniel Perret dan Drs Kamaruddin Abd. Razak, terbitan Yayasan Warisan Johor (1999). Manakala Mengukir Kegemilangan Lalu menambahkan lagi khazanah biografi tokoh terbilang di negeri ini. Ends.

4 Responses “Othman Yatim Menilai Pengukir Silam” →
  1. Sounds good. Thanks

    Reply
  2. Sleep more, bully less | PinkShirtDay.ca just great!

    Reply
  3. I am glad that I detected this website , just the right information that I was looking for! .

    Reply
  4. It is an amazing website.I like it.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: