Segamat Laluan Sultan Mahmud Menuju Penarikan

Bangunan Tertinggi Segamat

Bngunan Tertinggi Segamat Image via Wikipedia

SEGAMAT DALAM LOKASI PELARIAN SULTAN

Bandar Segamat terkenal dengan duriannya. Sering sahaja penjual durian mengaitkan bandar itu dengan durian jualannya. Entah kenapa orang ramai tertarik dengan durian Segamat. Barangkali rasanya lebih sedap dan warnanya lebih kuning. Namun dari sudut sejarahnya ramai pula tidak tahu pentingnya ia jika dikaitkan dengan Empayar Melaka. Segamat malah lebih bermakna kepada Melaka di saat-saat kejatuhannya ke tangan Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque. Nama segamat itu pun ada kaitannya dengan kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511. Setidak-tidaknya inilah mesej yang ingin disampaikan pengarang buku Segamat, Sejarah dan Mitosnya 2 kepada masyarakat pembaca.

Pengarang cuba meningkatkan citra Segamat melalui pemerian riwayat Bendahara terakhir Melaka, iaitu Bendahara Paduka Raja Tepok (atau Tepuk?), yang dikatakan tidak bergiri dan lumpuh. Barangkali pengarang ingin menilai semula Segamat, sebuah daerah tak bertuan turut memainkan peranan memberikan perlindungan kepada orang besar Melaka pada saat kejatuhan empayar itu. Kalaulah bukan kerana kaitan daerah ini dengan Melaka maka  tidak siapa yang peduli dengan Segamat, seperti halnya kebanyakan daerah lain di Johor hatta di Malaysia sekalipun.

egamat sebuah daerah paling utara Johor dan bersempadankan daerah kecil Gemas, Negeri Sembilan. Sungai Segamat mengalir di tepiannya dan sungai ini mengalir terus ke Sungai Muar. Ia dianggap daearah Bendahara Tepok, kerana bendahara itulah, menurut penulis, yang mula meneroka dan membari nama Segamat. Menurut pengarang, ada pelbagai cerita bagaimana nama Segamat boleh timbul. Yang paling popular ialah cerita bagaimana Bendahara Tepok merendamkan kakinya di sungai. Bendahara merasa segar sambil berkata kepada panglimanya Selamat Gagah, “Segar Amat”. Daripada ungkapan “Segar Amat” inilah lahirnya nama “Segamat”.

Ada cerita lain. Kononnya, Bendahara Tepok menggesa Selamat Gagah cepat-cepat lari daripada musuh, Portugis yang mengejar mereka. Bendahara berulang kali menyebut “segera Mat, segera Mat”. Dengan kata-kata Bendahara itu nama “Segamat” lahir. Satu lagi cerita ialah ketika Bendahara dan orang-orangnya sampai di satu kawasan yang dianggap selamat dari Portugis. Oleh kerana gembiranya maka orang-orang Bendahara berteriak, “Kita selamat, kita selamat”. Daripada teriakan itu nama Segamat muncul.

Apapun ceritanya tentang nama Segamat ini, satu hal jelas, iaitu orang-orang zaman dahulu sudah pandai mencipta akronim atau kependekan. Jika ini benar maka ia bermakna ciptaan kata melalui akronim yang kini berleluasa terutama di Indonesia, telah didahului oleh Bendahara Tepok dan orang-orangnya di Segamat.

Selain watak penting empayar Melaka ini yang dikaitkan dengan pembukaan Segamat, dan selain Sultan Mahmud yang singgah sebentar dalam perjalanan ke Penarikan, melalui Sungai Muar, untuk ke Pahang, tidak ada unsur-unsur sejarah yang dianggap menarik untuk pembaca luar dari orang Segamat sendiri. Kalau pun ada ia mungkin tertumpu kepada beberapa orang tokoh dalam bidang persuratan dan politik nasional. Antara yang disebut dalam buku ini ialah Abdullah Sidek dan Mohammad Hj Kidin dalam bidang persuratan dan Datuk Ahmad Arshad dan Dato’ Haji Ali Raya dalam bidang politik. Tidak ada sebutan tokoh dalam bidang korporat, misalnya Ahmad Pardas, anak Segamat yang kini menjadi Pengarah Urusan Renong.

Di bahagian tokoh buku ini, tidak pula disebut Tan Sri Musa Hitam, ketua bahagian UMNO dan mewakili Segamat di Dewan Rakyat. Musa juga adalah bekas Timbalan Perdana Menteri. penggantinya Dato’Ahmad Jais turut tidak tersenarai dalam buku ini.

Apapun jua, pengarang, Drs Ungku Mohd Zaman Tahir atau dikenal juga dengan nama pena Perantau Hiba  perlu diberi pujian kerana berani mengetengahkan hasil kajiannya, walaupun pada mulanya Ungku Zaman, ketika menerbitkan buku pertama tentang Segamat “sedikit bimbang akan sambutan orang ramai.” Seperti katanya, “Fikiran saya berkecamuk ….Dapatkah masyarakat daerah Segamat menerima buku saya itu?” Pengarang lebih bimbang jika fakta dan peristiwa yang dikemukakan bercanggah dengan  sejarah Segamat itu sendiri. Nyatanya buku pertamanya itu laris seperti katanya, “macam goreng pisang panas” dibeli oleh guru dan pelajar.

Terdorong oleh sambutan hangat itulah Ungku Zaman Tahir melahirkan buku keduanya tentang Segamat. Kurang pasti apakah ada unsur kesamaan dalam teks yang terdapat dalam kedua-dua buku ini. Atau buku kedua ini disusun melalui pendekatan lebih baik berbanding buku pertama. Yang nyata buku kedua ini adalah himpunan tulisan Ungku Zaman, terutama yang tersiar di akhbar mingguan Utusan Zaman (barangkali pemilihan akhbar ini ada kaitannya dengan nama pengarang sendiri!!). Dan bukan tidak mungkin urutan babnya termasuk judulnya juga diasaskan kepada urutan siaran dalam akhbar berkenaan.

Buku ini mengandung 23 bab (tidak ada halaman “kandungan” dan mungkin ia disengajakan untuk pembaca menyelak setiap halaman membaca judul bab). Oleh kerana penyusunan mengikut urutan siaran artikel maka elemen koherensi dan kesinambungan sedikit terabai. Malah turut terabai ialah  pengelompokan bab-bab. Contohnya kategori sejarah kampung. Ada tujuh kampung yang disenaraikan, tetapi dikelompokkan dalam secara bersama. Kampung Lubuk Batu diceritakan di Bab 4, Kampong Chabong di Bab 6, dan Kampong Tahang Rimau, Kampong Paya Dalam dan Tang Jauh dari Bab 9 hingga 11. Bab 13 dan 14 pula bercerita tentang Kampong Bandan dan Desa Temu Jodoh.

Hanya kampung-kampung ini yang mendapat tempat dalam buku ini. Kurang pasti jumlah kampung yang ada di daerah Segamat. Tetapi kampung-kampung yang lain tidak signifikan untuk diceritakan. Atau kebanyakannya telah pun disentuh dalam buku pertama. Untuk memuaskan rasa ingin tahu pembaca, terutama di Segamat sendiri, adalah lebih baik sekiranya pengarang memberikan gambaran taburan petempatan (kampung) lengkap dengan statistiknya yang terdapat di seluruh daerah Segamat.

Demikian pula, pembaca luar Segamat mungkin tertarik untuk mengetahui Segamat secara geografis,  fizikal dan kependudukan. Bukankah lebih baik sekiranya buku ini mengandungi peta Segamat dalam hubungannya dengan Johor dan Melaka. Dan bertambah menarik lagi sekiranya perjalanan Bendahara Tepok dan Sultan Mahmud dan pengikut-pengikut mereka dilakari melalui peta. Juga tidak jelas apakah pelarian diraja itu dibuat melalui jalan darat atau sepenuhnya jalan sungai. Kemudian pentingnya Sungai Muar dalam usaha Bendahara dan Sultan mencari perlindungan sebaiknya dihuraikan dalam satu bab tersendiri. Kedudukan kampung-kampung yang diterokai oleh pembesar-pembesar Melaka itu perlu diperlihatkan melalui peta.

Terdapat beberapa percanggahan fakta, misalnya peristiwa kejatuhan Melaka. Ada dua tarikh disebut, iaitu 15 Ogos dan 24 Ogos 1511. Bendahara dikatakan orang luar pertama  datang ke Segamat, tetapi di bab lain Bendahara dikatakan membuka daerah Segamat lalu menamakannya. Ada juga yang menyentuh daerah itu belum bernama sebelum kedatangan Bendahara, tetapi di bahagian lain Segamat dikatakan bernama Rantau Panjang atau Leban Cendung sebelumnya.

Bab dialek Segamat menarik. Disenaraikan sejumlah kata dan ungkapan yang menurut pengarangnya adalah dialek asli orang Segamat tanpa sedikitpun dibauri dialek luar seperti Jawa dan Banjar. Jika diteliti kata dan ungkapan itu ternyata semuanya begitu asing dengan bahasa Melayu. Contohnya Nalo bererti tetap, patap bererti gelap gelita dan  bene-bukat berserti bising. Ada cerita bahawa dialek ini merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu Klasik yang dituturkan Bendahara Tepok dan orang-orangnya, kira-kira 500 tahun dahulu. Bagaimanapun mengatakan bahawa dialek Segamat “bersih dari pengaruh luar” mungkin kurang tepat. Sebabnya ada beberapa perkataan atau ungkapan yang disenaraikan dalam buku ini mempunyai persamaan dengan satu dialek di Negeri Sembilan, khususnya Rembau dan Tampin. Contohnya bonyo yang bererti lembik, membetis bererti berjalan kaki, ketiar bererti ikhtiar, sentil bererti songel atau keneneng bererti berpinar-pinar.

Segamat, Sejarah dan Mitosnya baru sahaja diterbitkan. Keberanian Ungku Zaman menerbitkannya dengan kesedaran keterbatasan audiennya harus mendapat pujian. Lebih-lebih lagi apabila melihat stutus Segamat sebagai sebuah daerah di Johor “yang paling ulu” yang kemasyhurannya dikaitkan cuma pada “durian segamat” dan  ketokohan Musa Hitam. (modified on 13 Julai 2011)

3 Responses “Segamat Laluan Sultan Mahmud Menuju Penarikan” →
  1. Wow, amazing! Just got hold of this bok a few days back while wandering about in the bookstore… and now it’s gonna be a TV Series! I am liking the book so far and sincerely hope that it would be as amazing as it is in the series adaptation.

    Reply

  2. Fred Sipla

    April 3, 2012

    Just wanted to say aweseome theme and great post.I like how you wright. You could be making some serious coin if you keep it up.

    Reply
  3. bagus sertakan bukti kesan dan tanda kebenaran

    Reply

Leave a comment